Dua keluarga, 13 orang terperangkap di seberang sungai berjaya diselamatkan
Foto atas : Anggota BBP Maran menggunakan tali untuk membawa mangsa menyeberangi sungai Lubuk Ujik, Taman Che Minah Sayang, Maran, hari ini
Dua keluarga, 13 orang terperangkap di seberang sungai berjaya diselamatkan.
MARAN – Dua keluarga dari Bandar Muadzam Shah terperangkap di seberang sungai kerana air yang tiba-tiba naik dan mengalir dengan deras berpunca daripada kepala air di Sungai Lubuk Ujik, Taman Che Minah Sayang, dekat sini pada jam 2.07 petang, hari ini.
Dua keluarga seramai 13 orang itu berjaya diselamatkan oleh Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Maran.
Kesemua mangsa yang sedang bercuti menziarah keluarga di sini telah pergi berkelah ke kawasan tersebut yang terdiri daripada 3 lelaki dewasa, 3 wanita dewasa, 2 kanak-kanak lelaki dan 5 kanak-kanak perempuan.
Komander Operasi dari BBP Daerah Maran, PPgB Shamsul Affendy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan dengan kejadian tersebut dan bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, seramai 6 anggota dengan 2 jentera ke tempat kejadian untuk melakukan operasi penyelamatan semua mangsa.
“Anggota BBP Maran menggunakan kaedah penyeberangan sungai (river crossing) menggunakan tali dan membawa keluar semua mangsa yang berada di seberang sungai ke tempat yang selamat.
Katanya, semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan pulang ke rumah keluarga mereka di sini. Operasi selesai pada jam 4.10 petang, ” katanya.-SAHIH.