Dua Kawah Daging Kuda! Rumah Terbuka Jengka 24 Buat Ramai Ternganga
Dua Kawah Daging Kuda! Rumah Terbuka Jengka 24 Buat Ramai Ternganga
JENGKA: Kalau biasa rumah terbuka Aidilfitri hidang rendang ayam, gulai kambing atau daging lembu, Felda Jengka 24 tahun ni buat plot twist—dua kawah daging kuda jadi tumpuan!
Buat pertama kali dalam sejarah, juadah luar biasa itu dihidangkan khas untuk para tetamu dan petugas dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri, mencetuskan keterujaan luar biasa.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, sebanyak 50 kilogram daging kuda disediakan khas sebagai kelainan berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Alhamdulillah, seperti kebiasaannya, kita meraikan Aidilfitri dengan jamuan rumah terbuka. Sebelum ini kita biasa sediakan daging lembu, kambing dan ayam. Tapi tahun ini, kita buat sedikit kelainan,” katanya.
Menurut Razak, idea hidangan unik itu timbul kerana mahu mencuba sesuatu yang belum pernah dirasai penduduk.
“Selama ini, kita tak pernah makan daging kuda. Jadi, kita nak cuba sesuatu yang baru. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan dan ramai yang teruja mencubanya buat kali pertama,” katanya.
Antara tetamu yang hadir, Syed Abdullah bin Syed Qasim, 62, mengakui menu daging kuda itu memberikan pengalaman rasa yang unik.
“Dagingnya ada rasa lain daripada yang lain… tekstur kasar sikit tapi tetap lembut bila dimasak dengan gulai kari—memang kena betul dengan selera orang kita,” katanya yang juga seorang pendaki aktif dari Felda berkenaan.
Daging kuda itu turut dimasak dalam pelbagai gaya seperti rendang dan panggang, memberi pilihan rasa kepada pengunjung yang hadir.
“Majlis ini juga sebagai penghargaan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Kita mahu mereka rasa dihargai dan istimewa,” ujar Razak lagi.
Turut hadir En.Mohd Tarmizi bin Lee Pengarah Wilayah Jengka memeriahkan lagi suasana Jamuan hari raya Aidilfitri Jengka 24.
Selain hidangan luar biasa, acara turut diserikan dengan sumbangan kepada 20 asnaf, meraikan bakal haji, 13 anak yatim, dua orang pesara termasuk seorang guru dan pengurus FGV Felda Jengka 24.
Keceriaan turut terasa apabila lebih 200 kanak-kanak menerima duit raya, manakala sembilan buah gerai menyertai pertandingan hiasan dan penyediaan makanan yang mencerminkan kerjasama dan kreativiti komuniti.-SAHIH