Dua kakitangan SUK ubahsuai sistem urusan pingat kebesaran
Dua kakitangan SUK ubahsuai sistem urusan pingat kebesaran
KUANTAN – Dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang didakwa di Mahkamah Sekysen Kuantan dengan 29 pertuduhan ubahsuai kandungan laman web sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran dua tahun lalu.
Mohd Isa Mohd Yusof, berdepan dengan 26 pertuduhan manakala Muhammad Amer Syafeeq Aziz pula dengan tiga pertuduhan bagaimana tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Maimoonah Aid.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Isa telah dengan tanpa kuasa menggunakan nombor pengenalan mereka untuk memasukkan nama 26 individu ke dalam laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sebagai penerima pingat Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang sedangkan penerima tidak disenaraikan untuk menerima anugerah tersebut.
Mohd Isa didakwa melakukan perbuatan itu antara 19 Februari 2020 sehingga 12 Oktober 2021 di Pejabat SUK Pahang.
Muhammad Amer Syafeeq pula didakwa melakukan perbuatan sama pada18 Ogos 2021 sehingga 4 Oktober 2021 bertempat di Pejabat SUK Pahang.
Kedua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan seperti yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim.
Mahkamah membenarkan kedua tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kes disebut semula pada 13 Februari tahun depan.