Dua kakak korban karier dan masa muda demi adik yang terlantar
Foto atas: Dua kakak, Noor Azlina dan Noor Ain menguruskan adiknya yang terlantar sejak 2017.
Dua kakak korban karier dan masa muda demi adik yang terlantar
JERANTUT – Dua orang gadis berusia 31 dan 28 tahun sanggup mengorbankan karier dan masa mudanya demi seorang adiknya yang terlantar sakit akibat ketumbuhan di bahagian kepala sejak 2017.
Kakak kepada Muhammad Ridwan Momin (27) yang terlantar, Noor Azlina Momin (31), sanggup berhenti kerja di Temerloh dan kemudian mencari kerja di Bandar Pusat Jengka dengan harapan untuk memudahkan dia untuk berulang alik ke Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini.
“Oleh kerana tumpuan sepenuh perlu diberikan kepada adik, saya berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan adik yang terlantar kerana adik saya tidak boleh bergerak.
“Untuk menampung serba sedikit perbelanjaan, saya turut membuat kuih dan menghantar kepada penjual gerai di sekitar Felda Gelanggi Dua,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya, dia perlu memberi tumpuan kepada adik (Muhammad Ridwan ) sepanjang masa seperti menyediakan makan minum, ubat, pakaian, membersihkan badan, memakai lampin pakai buang termasuk menjaga ketika menjalani pembedahan di hospital.
“Saya sekeluarga perlu berbelanja hampir RM1,500 ketika menjaga dia (adiknya) lebih daripada seminggu tinggal di wad hospital sama ada di hospital di Kuantan, Temerloh atau Kuala Lumpur selepas pembedahan serta pemulihan sebelum dibawa pulang ke rumah.
“Dalam tempoh ini, saya menjaga adik dengan melibatkan perbelanjaan yang agak banyak termasuklah menyewa penginapan dan kenderaan pergi dan balik dari hospital,” katanya.
Seorang lagi kakak Ridwan, Noor Ain Momin, 28, berkata, adiknya dikenalpasti mengalami sakit bahagian kepala sejak 2013, ketika itu dia sering mengadu sakit kepala seperti kena sawan, tetapi lebih serius apabila adiknya tiba-tiba terjatuh di rumah dan mengalami pengsan.
“Setakat ini, sudah lima kali pembedahan dilakukan, pada tahun ini sahaja (2022) sudah dua kali, pada Januari dan bulan Mei, baru-baru ini.
“Keadaan kesihatan adik agak merosot kebelakangan ini, selepas pembedahan ini adik saya tidak boleh menggerakkan anggota badannya serta tidak boleh bercakap hanya berbaring di katil dan berkerusi roda serta rutin hariannya dibantu oleh keluarga,” kataya.
Katanya dia mengambil upah menjahit baju dengan pendapatan tidak seberapa, purata RM300 sebulan bagi menyara serta menampung keperluan kebajikan adiknya dan keluarga.
Katanya, sehingga ini, mereka sekeluarga sudah berbelanja kira-kira RM12,000 untuk memenuhi kebajikan Muhammad Ridwan termasuk makan minum, pengangkutan ke hospital, kos ubat dan perbelanjaan ketika menjaganya di rumah.
Menurut Noor Ain, bersama dengan kakaknya, Noor Azlina serta adik beradik lain bergilir-gilir menjaga kebajikan Muhamad Ridwan di rumah kerana dia perlu menumpukan kerja menjahit bagi menambah pendapatan.
“Bapa saya (Momin) yang menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis kerap uzur dan sudah tidak mampu bekerja. Lagipun pendapatan hasil sawit tidaklah seberapa kerana waktu ini musim buah sawit berkurangan,” katanya.
Dia menambah, sebelum ini Muhammad Ridwan ada menerima sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) Jerantut dan bersyukur kerana adiknya turut menerima bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya berharap mendapat ihsan daripada kerajaan, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para dermawan kerana memerlukan perbelanjaan untuk kebajikan dan perubatan adik (Muhammad Ridwan) yang masih menanggung derita penyakit ini,” katanya.
Orang ramai serta dermawan yang ingin memberi sumbangan untuk membantu Muhammad Ridwan bolehlah menghubungi Noor Ain Momin melalui talian 011-25409790 atau terus akaun Affin Islamic Bank, Noor Azlina Momin bernombor 205130910166.-SAHIH.