DUA CUBA RENTAS NEGERI KENA KOMPAUN
DUA CUBA RENTAS NEGERI KENA KOMPAUN
BENTONG: Dua lelaki ditahan dalam cubaan merentas negeri untuk pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina dengan menaiki bas ketika pemeriksaan mengejut di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Asap di sini, kira-kira 12,40 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kedua-dua lelaki berusia 21 dan 29 tahun itu gagal mengemukakan dokumen rentas negeri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan di SJR itu.
“Pasukan pemantau Op Covid-19 telah membuat pemeriksaan mengejut ke atas sebuah pengangkutan awam yang datang dari Selangor menuju ke Kelantan.
“Seramai 23 penumpang telah diperiksa dan didapati dua warganegara tempatan tidak mempunyai dokumen rentas negeri yang sah daripada polis,”katanya di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua lelaki tersebut dikompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Perkara 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan boleh dikompaun sebanyak RM1,000.
“Pihak polis akan mempertingkatkan pemeriksaan ke atas pengangkutan awam khususnya bas ekspres kerana didapati digunakan oleh mereka yang nekad merentas negeri tanpa ada kebenaran polis,” katanya.
Zaiham berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 22 Januari hingga 12 Februari, sebanyak 154 kenderaan dan 177 individu serta 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pasca banjir diarahkan berpatah balik.
“Dalam tempoh 18 Mac 2020 sehingga 12 Februari 2021 pula Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong telah mengeluarkan sebanyak 177 kompaun kerana ingkar SOP yang ditetapkan,” katanya.