Dua cedera lori treler rempuh pos kawalan
Dua cedera lori treler rempuh pos kawalan
LIPIS: Dua lelaki termasuk seorang anggota polis bantuan cedera selepas sebuah lori treler tanpa muatan hilang kawalan sebelum merempuh pos kawalan di Kilometer 5, Jalan Bandar Baru-Felda Kechau, di sini semalam.
Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, lori treler dipandu lelaki berusia 28 tahun dari Sungai Temau ke Kuantan dipercayai gagal dikawal sebaik tiba di lokasi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata lori terbabit melanggar Pos Kawalan Polis Bantuan Kechau 8 hingga menghempap sebuah motosikal dan turut mengenai sebuah kereta yang berada di sisi pos berkenaan.
“Ketika kejadian, dua anggota polis bantuan berada di kawasan itu iaitu penunggang motosikal, Udan a/l Angah, 23, dan pemandu kereta, 31.
Rempuhan kuat menyebabkan bumbung serta dinding pos runtuh menghempap motosikal milik Udan,” katanya.
Beliau berkata, Udan yang juga Orang Asli cedera ringan di kaki manakala pemandu lori, Alif Syukri Mohd Shamsuddin, turut cedera.

“Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan. Polis menasihatkan pemandu supaya berhati-hati dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik bagi mengelak kemalangan,” katanya.-SAHIH