DUA BERADIK KG MAT DALING BELAJAR SECARA ATAS TALIAN DI KAWASAN MASJID
DUA BERADIK KG MAT DALING BELAJAR SECARA ATAS TALIAN DI KAWASAN MASJID
JERANTUT: Dua beradik di Kampung Mat Daling belajar dan mengikuti kelas secara atas talian di kawasan masjid kampung itu setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) menguatkuatkuasa dan mengarahkan semua sekolah ditutup dan hanya boleh belajar dari rumah (BDR) seperti diarahkan.
Dua beradik itu, Nur Hafiza Ahmad Hairi, 18 tahun dan Ummi Kalsum Ahmad Hairi , 16 tahun terpaksa berulang alik setiap hari pada hari persekolahan sejauh kira-kira 2 kilometer (km) dengan menunggang motosikal dari rumah ke masjid kampung itu untuk mendapat liputan internet yang baik.
Nur Hafizah yang mengikuti pengajian Pra-Universiti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin, Jerantut yang terletak kira-kira 130 km dari rumahnya dan mengambil masa hampir 3 jam perjalanan perlu mengikuti kelas pengajian secara atas talian setiap hari persekolahan.
“Saya menunggang motosikal kira-kira 2 km dari rumah dengan adik ke sini (masjid), kerana di rumah tidak mendapat liputan internet dan di sini boleh menerima liputan agak memuaskan.
“Mujur ada liputan yang agak memuaskan di sini, saya dan adik berkongsi data internet untuk mengikuti kelas yang dijalankan oleh guru kelas, pastinya kos diperlukan kerana membeli data prabayar sebanyak RM10 seminggu untuk keperluan pembelajaran atau kadang-kala lebih,” katanya ketika dihubungi SAHIH.
Katanya, dia perlu berkorban untuk belajar bersunguh-sungguh demi masa depan diri sendiri dan keluarga, bapa saya hanya berkerja kampung untuk menyara dan membesarkan kami.
Sementara itu, adiknya, Ummi Kalsum yang bersekolah di Maahad As-Sultan Ahmad Shah Addini, Bandar Jengka di tingkatan 4 turut mengalami keadaan yang sama untuk mengikuti kelas secara atas talian.
Katanya, oleh kerana mahu menjimatkan kos data internet, maka mereka berkongsi belajar bersama secara serentak di kawasan masjid.
“Ada Pusat Internet Komuniti Kampung Mat Daling, tetapi kerana agak ramai murid sekolah rendah yang menggunakannya maka saya dan kakak mengambil keputusan belajar di sini.
“Rasa santai sedikit di bawah pondok wakaf terbuka dengan membawa bekalan dari rumah, kakak menggunakan komputer bimbit, saya menggunakan telefon bimbit di samping pengurusan masjid membenarkan kami,”katanya.
Katanya, kadang-kala liputan internet di pusat komuniti terganggu dan merencatan mereka untuk mengikuti pembelajaran atas talian yang dijalankan oleh guru masing-masing.
“Saya dan kakak bersyukur masih ada kemudahan walau pun tidak sepenuhnya kerana ada terbaca rakan pelajar lain yang terpaksa memanjat pokok dan mencari bukit untuk mencari liputan internet yang baik demi mengejar ilmu,”katanya. –SAHIH.