DUA BEKAS ADUN DAP PERAK SERTAI BERSATU
DUA BEKAS ADUN DAP PERAK SERTAI BERSATU
IPOH: Dua Adun dari Perak yang dahulunya dengan DAP, kini secara rasmi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Bekas Exco ketika kerajaan PH, Paul Yong Choo Kiong, yang juga ADUN Tronoh dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam, sebelum ini bertindak keluar DAP pada Mac tahun lalu.
Mereka kemudian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak ketika Ahmad Faizal Azumu menjadi menteri besar.
Penyertaan kedua-dua ADUN berkenaan dalam BERSATU disahkan oleh Setiausaha BERSATU Perak, Zainol Fadzi Paharuddin.
“Kedua-dua mereka sudah pun menjadi Ahli Bersekutu BERSATU sejak Disember lalu,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.
“Yong mendaftar sebagai ahli bersekutu bahagian Batu Gajah, manakala Sivasubramaniam ahli bersekutu Ipoh Barat,” katanya.
Sivasubramaniam pada Jun mengumumkan menyertai Gerakan.
Penyertaan Sivasubramaniam ke dalam BERSATU mengakibatkan Gerakan kini hilang wakil dalam DUN Perak.
Yong menjadi ADUN bebas selepas keluar DAP.