Dua anggota APM maut dalam kemalangan di KM 142.8, LPT1
Dua anggota APM maut dalam kemalangan di KM 142.8, LPT1
MARAN – Dua orang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam perjalanan meraikan majlis hari jadi rakannya berkecai apabila maut dalam kemalangan jalan raya.
Kejadian berlaku melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah treler Mitsubishi Fuso di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) KM 142.8 menghala ke Kuala Lumpur pada jam 2.55 petang, hari ini.
Mangsa yang maut, pemandu kereta, Muhammad Nur Izzuddin Mohd Razali dari Pekan (21) dan penumpang tempat duduk hadapan kereta, Siti Fairuz Adnan (28) dari Bukit Cermin, Mentakab.
Manakala, penumpang belakang kereta itu, Nurulain Zulfardliyana Mat Daud (34) dari Nenasi, Pekan mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala pemandu treler tersebut berusia 54 tahun dari Bangi tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abd Rahman berkata, ketika sampai di tempat kejadian dipercayai pemandu telah hilang kawalan dan telah melanggar bahagian belakang treler yang sedang berada di lorong perlahan.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu dan penumpang hadapan kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang belakang kereta telah di bawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan selanjutnya.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu kereta yang disyaki gagal mengawal kenderaan dan melanggar belakang treler mengakibatkan kemalangan berlaku,” katanya.
Katanya, kereta itu remuk teruk pada bahagian hadapan dan besi belakang treler patah dan tayar dan roda bahagian belakang sebelah kiri bengkok.
“Keadaan jalan lurus dua lorong satu hala dan keadaan hujan dan permukaan jalan basah. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Punca kematian mangsa tersebut akan diketahui selepas ujian saringan COvid-19 diperolehi,” katanya.-SAHIH.