DUA AHLI PARLIMEN PKR SOKONG KERAJAAN PN
DUA AHLI PARLIMEN PKR SOKONG KERAJAAN PN
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membuat keputusan meninggalkan parti itu bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), semalam.
Menurut Muhyiddin, dua ahli parlimen berkenaan ialah Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.
“Hari ini saya menerima SD daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara,” katanya yang juga presiden BERSATU dalam satu kenyataan.
Muhyiddin berkata, akuan bersumpah itu ditandatangani dan diserahkan kepadanya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.
Terdahulu, Sng dilaporkan meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak serta kedudukan lain dalam parti itu.
Langkah yang sama dikatakan turut diambil oleh Steven Choong.
Perkara itu juga dimaklumkan oleh Hizwan Ahmad, setiausaha politik kepada bekas ahli parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin.
“Selepas 1 tahun menilai prestasi Kerajaan, hari ini dua ahli parlimen PKR buat keputusan menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Perikatan Nasional.
“Tahniah Julau dan Tebrau. Ke arah kerajaan stabil dan negara yang selamat. Sah, Perikatan Nasional untuk semua, untuk rakyat Malaysia,” katanya.