Dr Kjey cipta hatrik rekod kebangsaan sempena Hari Sukan Negara
Dr Kjey cipta hatrik rekod kebangsaan sempena Hari Sukan Negara
Kuala Lipis – Atlet kecergasan dan jurulatih muda, Jey Prabakaran Thevar, 28, atau lebih dikenali sebagai Dr Kjey, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melakar tiga rekod kebangsaan (hatrik) dalam tempoh dua hari sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat Negeri Pahang di Kuala Lipis.
Dr Kjey yang sebelum ini pernah memegang dua Rekod Dunia, dua Rekod Kebangsaan dan satu Rekod Asia, sekali lagi membuktikan keupayaan fizikal luar biasa apabila menamatkan tiga cabaran ketahanan ekstrem secara berturut-turut.
Beliau berkata, cabaran itu dilaksanakan pada 10 dan 11 Oktober lalu dengan catatan masing-masing 3,000 ulangan bagi setiap kategori dalam tempoh tiga jam.
“Pada hari pertama saya lakukan leg extensions dan squats, manakala hari kedua jumping jacks. Ia bukan mudah, tetapi saya berpegang pada prinsip disiplin dan fokus penuh,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan, semalam.
Ketiga-tiga percubaan itu disahkan secara rasmi oleh wakil Malaysia Book of Records (MBR), sekali gus mengiktiraf beliau sebagai rakyat Malaysia pertama yang berjaya mencipta tiga rekod kebangsaan serentak sempena Hari Sukan Negara.
Majlis penyerahan sijil rasmi MBR diadakan ketika majlis penutupan yang turut disaksikan peminat kecergasan, pemimpin tempatan serta peserta dari seluruh negeri.
Acara berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (JBS Pahang).
Mengulas lanjut, Dr Kjey berkata beliau menjalani latihan intensif hampir 10 bulan dengan diet ketat tanpa gula, minyak dan garam bagi memastikan tubuh berada pada tahap terbaik sebelum percubaan.
“Seminggu sebelum percubaan, saya mengalami kecederaan belakang, namun tidak menyerah. Saya bangkit semula dan berjaya menamatkannya. Hatrik ini sangat bermakna kerana ia bukan sekadar tentang ketahanan fizikal, tetapi juga kekuatan disiplin, kepercayaan dan semangat yang tidak pernah luntur,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang membantu menjayakan kejayaan itu.
“Saya berterima kasih kepada JBS Pahang, Exco Belia dan Sukan Pahang, YB Fadzli, serta Pengarah JBS Negeri Pahang, Azli Daud, atas sokongan padu yang membantu saya mencapai kejayaan ini,” katanya.
Pencapaian tiga kali ganda itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Dr Kjey sebagai antara ikon kecergasan paling berdedikasi dan berdisiplin di Malaysia, selain menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk terus aktif dan bersemangat dalam bidang sukan.-SAHIH