DOKTOR WANITA MAUT DALAM LETUPAN BOM
DOKTOR WANITA MAUT DALAM LETUPAN BOM
JALALABAD: Seorang doktor wanita terbunuh dalam letupan bom di Jalalabad, timur Afghanistan yang dilihat sebagi satu lagi serangan disasarkan, kata pegawai hari ini, beberapa hari selepas tiga petugas media wanita ditembak mati di kawasan sama.
Wartawan, agamawan, aktivis dan hakim menjadi mangsa dalam gelombang pembunuhan politik di Afghanistan baru-baru ini, menyebabkan ramai terpaksa bersembunyi – dengan ada yang melarikan diri ke negara lain.
Jurucakap pejabat gabenor daerah berkata, dalam kejadian terbaru, doktor itu terbunuh selepas sebutir bom magnetik dipasang pada kenderaan dinaikinya.
Seorang kanak-kanak turut cedera dalam letupan itu.
“Beliau menaiki beca ketika bom itu meletup,” kata jurucakap itu kepada AFP.
Seorang lagi jurucakap hospital daerah mengesahkan kejadian itu dan jumlah kematian.
Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap letupan itu.
Serangan itu menyusul dua hari selepas tiga petugas media wanita ditembak mati di Jalalabad dalam serangan berasingan selang beberapa minit.
Gabungan kumpulan IS tempatan berkata, penembaknya melakukan pembunuhan yang didakwa wartawan bekerja untuk sebuah syarikat media setia kepada kerajaan Afghanistan murtad.
Pegawai Afghanistan dan Amerika Syarikat menyalahkan Taliban atas siri keganasan itu, tetapi kumpulan itu menafikannya.
Pembunuhan itu sangat dirasai wanita, yang hak mereka diabaikan di bawah pemerintah Taliban selama lima tahun, termasuk dilarang bekerja.
Pegawai risikan sebelum ini mengaitkan ancaman baru terhadap profesional wanita dengan tuntutan dalam rundingan damai supaya hak mereka dilindungi.
Serangan itu berlaku ketika timbul spekulasi berhubung masa depan AS di Afghanistan, selepas pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan rancangan mengkaji semula perjanjian dengan Taliban tahun lalu yang membuka laluan untuk tentera asing meninggalkan negara itu menjelang Mei.