DOA UNTUK MASJID AL-AQSA
DOA UNTUK MASJID AL-AQSA
PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengutuk tindakan Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa dan mengajak masyarakat dunia untuk bertindak segera serta bersatu menentang kezaliman tentera zionis.
Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan, berkata Israel tidak mempunyai sebarang sebab untuk menyerang warga Palestin yang sedang beribadat di bulan mulia ini dan tindakan itu boleh dianggap sebagai satu provokasi semata-mata.
“Tindakan Israel menceroboh sehingga mencederakan warga Palestin yang sedang beribadat pada hari-hari terakhir Ramadan tahun ini menunjukkan sikap pengecut sebenar mereka kerana terang-terangan jemaah di Masjid Al-Aqsa ketika itu bukannya ancaman keselamatan untuk mereka.
“Justeru, YADIM mengutuk keras tindakan itu yang jelas salah dari segi undang undang serta mencabul hak warga Palestin termasuk wanita dan kanak kanak untuk beribadat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
GAMBAR HIASAN
YADIM juga menyeru masyarakat Islam di negara ini untuk sama-sama mendoakan keselamatan rakyat Palestin agar mereka sentiasa dipelihara daripada tindakan keji rejim itu.
Pada Jumaat lalu, tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi melakukan pencerobohan terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa.
Sementara itu, Bernama melaporkan Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menggesa kerajaan menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota OIC (PUOIC) memberi tekanan terhadap Israel dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin.
Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris, berkata Malaysia menerusi OIC dan PUOIC mempunyai tanggungjawab bersuara tegas secara kolektif untuk menggesa dan bertindak bagi memberi tekanan terhadap Israel serta mengelak kemungkinan dasar aparteid kembali di bumi Palestin.
“Keamanan perlu dikembalikan khususnya kepada rakyat Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis yang dilihat dipaksa berpindah sebagai pengusiran dan pembersihan etnik secara terancang oleh pendatang haram Yahudi.
“Ini sebagai punca kemuncak kekejaman dan keganasan secara bersiri pada akhir bulan Ramadan ini,” katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.
Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh Israel meningkatkan pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin, kata Razali
Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan susulan tentera Zionis menyerang dan mencederakan lebih 200 rakyat Palestin dengan merempuh masuk Masjid al-Aqsa menggunakan bom tangan, gas pemedih mata dan peluru besi dilapisi getah bagi menyerang jemaah di sana susulan pengusiran di Sheikh Jarrah.
Sehubungan itu, katanya Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara senada dan selari bersama-sama PUOIC dan akan terus mempertingkatkan suara agar terus didengari di segenap pelusuk dunia untuk berdiri bersama rakyat Palestin yang ditindas dan berhadapan tindakan keji dan keganasan tentera Zionis Israel.
Pemuda Islam Asia Tenggara dalam kenyataan berasingan menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh dunia untuk terus menekan kerajaan Israel yang dilihat cuba mencetuskan ketegangan di Timur Tengah dan menjejaskan keamanan global.
Kumpulan itu mendesak agar Israel menghormati kedaulatan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB dan resolusi OIC kepada negara itu.
“Kami turut menggesa OIC mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani isu yang berbangkit di Palestin serta menyeru semua pemimpin negara-negara Islam menggunakan saluran yang sebaik mungkin untuk memastikan rejim Zionis dan sekutunya tidak menolak kedaulatan Palestin.
GAMBAR HIASAN
“Sebarang urusan bertujuan menggalakkan dasar Israel perlu dinafikan dengan tegas,” menurut kenyataan kumpulan itu.
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam kenyataannya turut mengutuk tindakan kejam tentera Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa dan mencederakan ratusan jemaah yang sedang beribadah di masjid itu.
IKRAM menyifatkan pencerobohan yang dilakukan pada hari-hari akhir Ramadan ini sebagai tidak berperikemanusiaan oleh negara haram itu yang sentiasa melanggar undang-undang antarabangsa.
IKRAM menyambut baik tindakan kerajaan Malaysia dan pelbagai pihak yang mengutuk kezaliman ini serta menyeru negara-negara di dunia dan masyarakat antarabangsa agar memberikan tekanan demi tekanan terhadap Israel dengan pelbagai cara.
IKRAM juga mendesak supaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) serta kuasa-kuasa besar untuk bertindak segera bagi menghentikan siri pencerobohan dan kezaliman Israel ini.
“Mengambil keberkatan sepuluh malam akhir Ramadan, kita mendoakan agar rakyat Palestin dan umat Islam sentiasa teguh mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa serta Israel yang zalim segera tumbang kerana kezalimannya,” katanya.