Doa Kejayaan SPM Anak FELDA Jengka 24
Doa Kejayaan SPM Anak FELDA Jengka 24
JERANTUT : Suasana di Felda Jengka 24 malam tadi dipenuhi rasa syukur dan harapan apabila seramai 18 pelajar menduduki SPM pada tahun di Sekolah Menengah Jengka 24 diraikan dalam majlis bacaan Yasin serta solat hajat yang diadakan di Masjid Assobirin .
Program itu dianjurkan bagi memberi suntikan semangat kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi, selain memperkukuh hubungan antara ibu bapa, guru dan komuniti peneroka di Felda Jengka 24.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, berkata majlis berkenaan menjadi platform untuk memohon keberkatan dan ketenangan buat semua calon, agar dapat menjawab soalan dengan baik dan mencapai keputusan cemerlang.
“Kita berharap majlis ini menjadi titik tolak kepada kejayaan anak-anak Felda Jengka 24.
Harapan saya agar ada antara mereka yang memperoleh keputusan semua A dan mengharumkan nama tanah rancangan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis bacaan Yasin serta solat hajat .
Menurut Razak, kejayaan anaknya, Muhamad Alimie Razak, yang pernah mencatat keputusan 9A SPM pada tahun 2023 menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha gigih mencapai kecemerlangan akademik.
“Kejayaan Alimie dahulu menjadi sejarah tersendiri bagi Felda Jengka 24 dan bukti bahawa anak peneroka juga mampu bersaing serta mencapai kejayaan besar,” katanya lagi.
Majlis yang dihadiri lebih 100 penduduk Felda Jengka 24 itu turut diserikan dengan tazkirah ringkas dan motivasi daripada guru sekolah, diikuti doa selamat serta jamuan ringan.

Suasana itu mencerminkan semangat kebersamaan warga Felda Jengka 24 dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak tinggi, sejajar dengan hasrat untuk menjadikan tanah rancangan itu terus melahirkan insan berjaya.-SAHIH
