DITIPU EJEN PENAPIS AIR
DITIPU EJEN PENAPIS AIR
Mangsa diminta membayar sebanyak RM4,000 untuk tempoh 20 Januari 2018 hingga 7 Julai 2020
KUANTAN: Seorang warga emas di Bentong rugi RM2,700 selepas diperdaya individu menyamar sebagai ejen penapis air yang datang ke rumahnya pada Julai lalu.
Memetik laporan BH Online, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula pada 7 Julai lalu apabila lelaki berusia 75 tahun itu didatangi suspek yang kononnya mahu mengambil duit bayaran bulanan penapis air miliknya.
“Ketika itu mangsa diminta membayar sebanyak RM4,000 untuk tempoh 20 Januari 2018 hingga 7 Julai 2020. Mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang sebanyak itu.
“Setelah membuat perbincangan suspek bersetuju membayar sebanyak RM2,000. Pada masa itu juga mangsa membuat pemeriksaan terhadap penapis air dan suspek mendakwa ‘filter’ itu perlu ditukar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek perlu membayar RM700 untuk membuat servis penapis penapis air berkenaan dan mangsa terus membayar kepada suspek.
“Namun pada Ahad lalu, syarikat penapis air berkenaan menyatakan mangsa belum menjelaskan bayaran bulanan penapis air berkenaan sebanyak RM1,988.
“Syarikat berkenaan memberitahu bahawa suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat berkenaan pada Januari 2020. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.