DITEMUI MATI DALAM KERETA
TAPAH: Seorang lelaki ditemui mati di dalam sebuah kereta di Hentian Rehat dan Rawat Tapah arah selatan, dekat Ipoh pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata mereka menerima panggilan berhubung penemuan mayat Ng Kar Weng, 26, dalam kereta Honda Jazz yang berkunci pada jam 11.30 pagi.
“Kami segera mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke lokasi kejadian bagi kerja mengeluarkan mayat mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, enjin dan pendingin hawa kereta dalam keadaan dimatikan,” katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.
Menurut jurucakap itu mayat Ng dibawa keluar menggunakan peralatan khas dengan membuka pintu kereta.
Operasi tamat pada jam 12.12 tengah hari.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pemeriksaan ke atas kereta berkenaan menemukan pasu tanah berisi arang yang terbakar di ruang kaki tempat duduk belakang.
“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit yang masih bujang dan bekerja sebagai tukang cat kenderaan tinggal seorang diri di sebuah kondominium di Menglembu, Ipoh.
“Dia juga tidak pernah menceritakan sebarang masalah kepada keluarganya sebelum ini,” katanya.
Wan Azharuddin juga berkata pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan pada mangsa mahupun unsur jenayah di tempat kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sumber: BERNAMA