DITEGUR TAK PAKAI PELITUP SEPARUH MUKA
DITEGUR TAK PAKAI PELITUP SEPARUH MUKA
MIRI: Gara-gara tidak berpuas hati ditegur kerana tidak memakai pelitup separuh muka, seorang lelaki bergaduh dengan seorang pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Tudan di sini Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Miri ambil maklum berkenaan satu video yang tular di media sosial menunjukkan dua lelaki dilihat bergaduh di hadapan pasar raya tersebut.
Menurutnya, pihaknya mengesahkan berlaku satu pergaduhan membabitkan seorang pengawal keselamatan bekerja di pasar raya tersebut dan beliau telah tampil membuat laporan polis pada Rabu lalu.
“Mengikut keterangan pengawal keselamatan tersebut, pada Isnin lalu beliau telah menegur seorang pelanggan lelaki yang tidak memakai pelitup separuh muka ketika ingin masuk ke dalam pasar raya.
“Pelanggan tersebut tidak berpuas hati dengan teguran itu maka berlakunya pertengkaran yang membawa kepada pergelutan di antara dua pihak.
“Bagaimanapun, pengawal keselamatan itu tidak membuat laporan polis pada hari kejadian kerana beliau telah dimaklumkan oleh orang awam di sekitar kawasan itu bahawa lelaki tersebut mempunyai masalah gangguan mental serta tidak ingin memanjangkan isu tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Mohd Sabri berkata kejadian itu dirakam orang awam yang berada di tempat kejadian dan menjadi tular pada Rabu lalu.
“Ekoran daripada penularan video itu, polis mengesan pengawal keselamatan berkenaan dan beliau diminta membuat laporan polis bagi menerangkan kejadian sebenar.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ekoran daripada kejadian tersebut dan kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Sabri menasihatkan orang ramai agar tidak merakam serta menularkan video yang boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan masyarakat, lapor KOSMO online.
Katanya, dalam hal ini, kejadian tersebut dapat dielakkan jika masyarakat di sekitar membantu menenangkan keadaan dan mengelakkan ia berlarutan.