DITAHAN SIMPAN 28 BURUNG TANPA LESEN
SIMPAN BURUNG RUAK – RUAK TANPA LESEN
LARUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menahan seorang lelaki dan merampas 28 ekor burung yang dilindungi serta 27 sangkar di sebuah rumah di Kampung Kedai Empat, Tanjung Piandang dekat sini, Selasa lalu.
Bernama melaporkan, Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, berkata pesawah berumur 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota penguat kuasa PERHILITAN pada 10 pagi hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata burung yang dirampas itu membabitkan pelbagai spesies iaitu 23 burung ruak-ruak, dua burung belibis dan tiga burung ayam-ayam.
Katanya lelaki itu mendakwa dia menyimpan kesemua burung itu sebagai hobi namun tidak memiliki dokumen pemilikan hidupan liar yang sah.
Susulan itu dia ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Burung ruak-ruak yang ditangkap memerlukan lesen RM10 seekor untuk setahun. Ia dipercayai dijual dengan harga antara RM10 hingga RM20 seekor,” katanya dalam sidang media di Pejabat PERHILITAN di Selama hari ini.
Yusoff berkata lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya memohon lesen untuk memiliki dan menyimpan hidupan liar secara sah bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.