DITAHAN CURI TONG IKAN, DAPUR GAS
DITAHAN CURI TONG IKAN, DAPUR GAS
GOMBAK: Seorang lelaki ditahan kerana mencuri tong ikan bersama dapur gas, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian itu pada mulanya disedari lelaki berusia 33 tahun pada 7.40 pagi Isnin lalu ketika dalam perjalanan ke tempat berniaga di persimpangan Jalan M-Residensi 2, di sini.
Menurutnya, lelaki itu melihat suspek berusia 35 tahun sedang mengangkut tiga tong ikan, dua dapur gas dan sebuah periuk memasak air miliknya ke dalam Toyota Hilux warna biru.
“Dia kemudian mengekori suspek dan tidak mahu mengambil tindakan sendiri, sebaliknya mengambil gambar sebelum suspek menghilangkan diri menyebabkan dia kerugian RM3,000.
GAMBAR IHSAN PDRM
“Bertindak atas maklumat, pada 11.40 malam tadi, sepasukan polis dari Balai Polis Kundang ketika ternampak sebuah pikap Toyota Hilux warna biru di tepi jalan Sekolah Kampung Baru Kundang dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Arifai berkata, pemeriksaan menemui barang milik mangsa di dalam kenderaan itu, lapor Harian Metro.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek terbabit dalam kes itu dan bertindak secara berseorangan serta pernah tular di media sosial, Isnin lalu mengenai kegiatannya itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah,” katanya.