DILLA BAKAL MENYENGAT
Bakat muda, Dilla Razak, bakal menyengat dalam arena seni suara tanah air serta berhasrat membariskan dirinya bersama penyanyi tersohor negara tidak lama lagi dengan kemunculan singlenya berjudul Cahaya Rindu.
Dilla Razak, 19 tahun, nama penuhnya Nurfadillah Abdul Razak, pada awalnya berkecimpung dalam bidang teater muzikal dan kerap mendendangkan lagu-lagu berbentuk syair, gurindam, nazam termasuk irama Malaysia, mula dikesan oleh Mohd Azizul Nazim.
Penyanyi kelahiran negeri Pahang itu menyanyikan lagu ciptaan Gee dan lirik ditulis oleh Jay yang juga anak jati Temerloh dengan menerbitkan single Cahaya Rindu genre balad.
Mohd Azizul yang bertindak sebagai penghubung kepada penyanyi muda ini menyatakan Dilla sangat berbakat dan sentiasa kerjasama dan berusaha keras untuk meningkatkan mutu vokalnya serta mampu membawa lagu pelbagai genre.
“Kebolehannya membawa lagu syair,gurindam, puisi, nazam dan irama Malaysia dengan lenggok dan patah lagu yang dianggap sukar bagi generasi muda, tetapi Dilla mampu membawa dengan baik.
“Dari sudut berinteraksi dengan penonton dengan yakin serta tutur kata yang baik, menggambarkan Dilla bersedia untuk berada di peringkat tinggi dan yakin mengharungi persada seni tanah air ,” katanya.
Sementara itu, Dilla Razak anak keempat daripada enam beradik bersedia memberi sepenuh tumpuan dalam bidang nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya semenjak di sekolah rendah dengan menyertai pelbagai persembahan berbentuk nyanyian dan teater.
Katanya, semasa sekolah menengah dia meneruskan minatnya dengan mengambil bahagian dalam bidang puisi dan syair yang diminatinya serta sentiasa menerima undangan di majlis makan malam dan program rasmi dengan lagu-lagu lama (oldies) , irama Malaysia serta lagu masa ini.
“Saya mula berjinak dengan teater muzikal selepas peperiksaan SPM secara aktif, saya kerap diberi peranan untuk menyanyikan lagu syair, puisi , gurindam dan nazam selain irama Malaysia, dari situ saya berasa yakin untuk meneruskan karier sebagai penyanyi.