DIKURUNG DALAM SANGKAR ANJING
ATLANTA: Malang bagi seorang kanak-kanak apabila dia ditemui dikurung di dalam sangkar anjing di sebuah rumah di Henry Country di sini, Khamis lalu.
Sebelum itu, polis menerima maklumat mengenai kes penderaan haiwan daripada penduduk setempat dan bergegas ke lokasi.
Namun, sebaik tiba di premis berkenaan, polis dikejutkan dengan penemuan seorang kanak-kanak dalam keadaan tidak terurus.
Daily Mirror melaporkan susulan kejadian itu, polis menahan tiga individu untuk tindakan lanjut.
Mereka yang ditahan, ibu mangsa, Heather Scarbough, 46, ayah tirinya yang berusia 46 tahun dan neneknya berusia 62 tahun.
Ketua Polis Henry Country, Monte Belew berkata, kanak-kanak lelaki itu ditemui di dalam sangkar yang menempatkan anjing.
Beliau berkata, mangsa turut dikurung berhampiran sangkar haiwan lain termasuk yang cedera.
Katanya, ia membabitkan ular, anjing, ayam, cicak, kucing dan pelbagai burung.
Belew berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa menghabiskan sebahagian besar hidupnya di dalam sangkar berkenaan.
“Keadaan sangat memilukan ketika polis menemui kanak-kanak berkenaan dan dia tidak sepatutnya berada di dalam sangkar itu.
“Ada mainan diletakkan di dalam sangkar itu, namun tiada selimut untuk mangsa,” katanya.
Ruang dapur rumah berkenaan juga tidak terurus dan ia dipenuhi lipas dan pelbagai serangga lain.
Malah, seluruh rumah berkenaan dipenuhi makanan busuk dan sampah yang berselerakan.