Diesel Semenanjung naik mendadak 50 sen, kini RM6.02 seliter
Diesel Semenanjung naik mendadak 50 sen, kini RM6.02 seliter
KUALA LUMPUR: Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia mencatat kenaikan mendadak sebanyak 50 sen seliter kepada RM6.02 bagi tempoh 2 hingga 8 April 2026, berkuat kuasa mulai esok.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, kenaikan itu menjadikan diesel di Semenanjung antara yang paling tinggi pernah direkodkan, sekali gus memberi tekanan besar kepada pengguna khususnya pemandu kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam.
Dalam perkembangan sama, harga petrol RON97 pula diturunkan 20 sen kepada RM4.95 seliter, manakala harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter.
MOF turut memaklumkan harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Menurut kenyataan itu, penetapan harga runcit bahan api mingguan adalah berdasarkan mekanisme Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira perubahan harga pasaran minyak mentah dunia.
Kenaikan mendadak diesel itu dijangka memberi kesan kepada kos operasi pelbagai sektor termasuk logistik, pengangkutan barangan serta perniagaan kecil yang bergantung kepada kenderaan diesel.
Dalam pada itu, orang ramai dijangka terus memantau perkembangan harga bahan api berikutan perubahan ketara diesel di Semenanjung yang boleh memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian dan harga barangan keperluan.
Harga bahan api baharu itu berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam esok sehingga 11.59 malam, 8 April 2026.-SAHIH
