DIBUNUH ANGKARA BEREBUT KIPAS MEJA
Berita Jenayah
DIBUNUH ANGKARA BEREBUT KIPAS MEJA
KUALA LUMPUR: Bergaduh kerana berebut kipas meja dipercayai motif kes lelaki warga Myanmar yang ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di Jalan 43, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata siasatan awal mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan perebutan kipas meja.
“Susulan kejadian itu, kita menahan tiga lelaki Myanmar berusia lingkungan 30-an di sekitar Seri Kembangan bagi membantu siasatan dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek lain yang dipercayai masih bebas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian malam tadi, pihak polis menemui mayat mangsa dalam keadaan berbaring dan berlumuran darah akibat ditikam pada bahagian belakang badan, leher dan kepala.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.