DIBERKAS LEPAS BUNGKUS AIR KETUM
Berita Jenayah
DIBERKAS LEPAS BUNGKUS AIR KETUM
KULIM: Niat seorang lelaki untuk memperoleh keuntungan RM1,500 daripada 175 bungkus air ketum tidak kesampaian apabila ditangkap polis sebaik saja selesai kerja pembungkusan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata serbuan jam 2.10 petang semalam oleh sepasukan enam anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dibuat berdasarkan maklumat dan risikan.
Katanya, pemeriksaan menemui 175 bungkusan plastik lut sinar disyaki air ketum dianggarkan sebanyak 105 liter.
“Turut dirampas dua plastik hitam berisi daun ketum, sebuah periuk besar, sebuah dapur gas dan sebuah tong gas.
“Berikutan itu, lelaki itu dibawa pulang ke pejabat Narkotik di IPD Kulim untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar berkata, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu sejak tahun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sumber: Harian Metro