DIBAWA ARUS KETIKA HANTAR BANTUAN MAKANAN
RANTAU PANJANG: Empat lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun berdepan detik cemas apabila hampir lemas selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras di Kampung Kubang Gabus di sini pada Isnin.
Kejadian jam 4.30 petang itu berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang TERPERANGKAP akibat banjir di kampung berkenaan.
Bagaimanapun, kesemua mangsa terselamat dalam kejadian selepas dibantu penduduk kampung.
Salah seorang mangsa, Mohd Nazri Yusoff, 41, berkata, kejadian itu berlaku selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka dipercayai terjatuh ke dalam lubang selepas ditolak oleh arus deras.
“Bila tayar termasuk ke dalam lubang, bahagian belakang terangkat. Saya kemudian telah memberitahu rakan-rakan yang berada di bahagian belakang untuk menyelamatkan diri masing-masing.
“Tanpa berlengah, saya terus menarik keluar anak dan menyerahkan kepada dua rakan untuk diselamatkan,” katanya ketika dihubungi SINAR HARIAN pada Selasa.
Sementara itu, memetik laporan BH ONLINE, dua rakannya itu enggan berbuat demikian sebaliknya mahu terus kekal berada di atas kenderaan tersebut.
Katanya, dia bersama anak, Muhammad Aqeef Ammar dan rakan-rakan dihanyutkan arus deras air banjir menyebabkan mereka hampir lemas.
“Pemandu sempat berpaut pada pacuan empat roda untuk menyelamatkan diri, sementara seorang lagi rakan berjaya berenang ke tepi,” katanya yang merupakan Pegawai Waran II Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mohd Nazri berkata, beliau bersyukur anaknya juga berjaya berenang dan kemudian berpaut pada salah seorang rakannya.
Katanya, ketika dihanyutkan arus deras itu hanya perkataan mati berlegar-legar di fikirannya.
“Dalam situasi itu, saya sempat mengucap dua kalimah syahadah dan reda jika dijemput Ilahi.
“Selepas itu, dengan izin ALLAH saya merasakan tubuh ini seolah-olah ditolak untuk timbul di permukaan,” katanya.
Mohd Nazri berkata, beliau kemudian terus menjerit meminta bantuan penduduk kampung untuk menyelamatkan rakan-rakan dan anaknya terlebih dahulu.
Katanya, hasil bantuan orang kampung akhirnya mereka berjaya dinaikkan ke darat.
“Saya berterima kasih kepada penduduk yang bertindak pantas menyelamatkan kami semua daripada lemas,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nazri berkata, kejadian itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada masyarakat pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, pihaknya tidak menggalakkan orang awam untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tanpa melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“PKOB adalah entiti yang bertanggungjawab menguruskan agihan banjir.
“Kita bimbang jika bertindak secara bersendirian mereka akan terdedah dengan bahaya,” katanya.
Video: Media sosial