DIARAH BEREDAR KERANA GELANG PINK
CUBA SOROK GUNA JAKET LENGAN PANJANG
MELAKA: Tindakan seorang wanita yang cuba menyorok gelang merah jambu di sebalik jaket yang dipakai telah disedari seorang pengawal keselamatan di sebuah kompleks membeli-belah di Bachang di sini semalam.
Menurut laporan Sinar Harian, dalam kejadian jam 6.45 petang itu, wanita bekerja sebagai operator kilang datang ke kompleks tersebut bersama seorang saudara lelaki dan memberi alasan untuk membeli barang bagi persiapan Deepavali.
Gambar Hiasan
Pengawal keselamatan berusia 27 tahun menyedari individu yang mengenakan jaket lengan panjang berwarna hijau memakai gelang pink ketika dia membuat rondaan di hadapan sebuah kedai kasut sebelum mengarahkan individu itu keluar dari bangunan terbabit lalu menghubungi Balai Polis Batu Berendam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, individu berusia 33 tahun itu disahkan berstatus di bawah Pengawasan (PUS) koronavirus (COVID-19), bagaimanapun keputusan PUS yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah negatif.
Menurutnya, individu yang beralamat di Batu Berendam itu akan hadir ke balai polis selepas tempoh kuarantin berakhir pada 12 November ini.