DIAIBKAN KERANA CURANG
Berita Global
DIAIBKAN KERANA CURANG
NEW DELHI: Akibat sering dikasari suami, seorang wanita berasal dari Arunachal Pradesh di timur laut India nekad melarikan diri dari rumah untuk berkahwin dengan kekasih gelapnya yang sudah berumah tangga.
Malangnya, tindakan itu membawa padah apabila dia dipukul dan diaibkan penduduk selepas kembali ke kampung halamannya.
Gulf News memetik laporan media tempatan pada 9 Oktober lalu melaporkan wanita itu mengakui terpaksa melarikan diri kerana tidak tahan apabila berterusan menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Saya tidak berkahwin lari kerana curang dengan suami sebaliknya tidak tahan dikasari dan teman lelaki saya tahu apa yang berlaku.
“Sepanjang lima tahun berumah tangga, hampir setiap hari saya dipukul oleh suami dan pernah keguguran kerana ditendang di perut.
“Pernah sekali, saya dimasukkan ke hospital akibat kecederaan serius,” katanya.
Menurut wanita berkenaan, keadaan jadi bertambah buruk apabila ibu mentua tidak menghalang tindakan suaminya.
Difahamkan, beberapa pertemuan antara kedua belah keluarga sudah diadakan, tetapi masalah berkenaan tidak selesai.
Selepas melarikan diri, keluarga teman lelakinya menghubungi mereka dan meminta wanita itu dan kekasihnya pulang ke kampung.
Pada awalnya, wanita itu enggan, tetapi akhirnya menurut permintaan keluarga sebelum kedua-duanya pulang ke kampung pada tengah malam, 25 September lalu.
Rupanya, ia hanya satu perangkap apabila mereka ditangkap sebaik tiba di kampung.
Wanita itu terus ditarik keluar dari kenderaan kemudian dimandikan sebelum dicukur rambutnya sebagai hukuman.
Dia turut dibogelkan dan gambarnya diambil oleh penduduk yang ada di situ kemudian ditinggalkan di dalam sebuah bilik tanpa diberi makan.
Pasangannya cuba menyelamatkan wanita itu namun dia dihalang dan dipukul penduduk kampung.
Wanita berkenaan cuba menghubungi datuknya untuk bantuan.
Datuknya mahu menuntut keadilan tetapi penduduk kampung memutuskan memberikan 40,000 rupee (kira-kira RM2,267) kepada lelaki itu.
Malah, wanita itu bukan saja dihalang berkahwin lagi tapi diusir dari kampung.
Kes itu mendapat perhatian polis dan sehingga kini, 15 daripada 38 suspek itu ditahan untuk siasatan.