DERUAN SUNGAI RENGAT SAJI AIR YANG SEJUK DAN JERNIH
DERUAN SUNGAI RENGAT SAJI AIR YANG SEJUK DAN JERNIH
JERANTUT: Sungai Rengat, Ulu Cheka yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Jerantut menyajikan air sungai yang jernih dan sejuk dikelilingi kebun sawit dan getah serta dilatari banjaran Gunung Benom.
Perjalanan ke sungai itu kira-kira 3 kilometer dari jalan besar, Damak-Perlok, pengunjung akan melalui kebun sawit dan getah untuk sampai ke sungai itu.
Sungai yang berjeram, berlata, serta merupakan sumber air yang penting untuk kewujudan air terjun, tapak perkhemahan, juga tempat ‘base camp’ untuk pencinta alam semula jadi.
Selain keseronokan dan pengalaman yang indah kepada para pengunjung bila mereka menikmati kesejukan semula jadi air sungai yang di antara enam hingga 10 selsius yang sejernih kristal di sungai itu.
Berdekatan dengan sungai itu adalah sa;ah satu laluan untuk permulaan mendaki Gunung Benum dengan ketinggian 2,107 meter (6,913 kaki) dari aras laut adalah gunung kedua tertinggi di Pahang terletak di dalam tiga daerah, Jerantut, Raub dan Temerloh.
Kalau bernasib baik dan bertuah, pengunjung boleh melihat dan menyaksikan bunga terbesar di dunia bunga Rafflesia serta dapat melihat pokok vanilla hutan di laluan berdekatan sungai itu.
Seorang pengunjung yang ditemui sedang mandi di sungai itu, Muhammad Daud Radiman (23) berkata, dia yang datang dari Kampung Jerangsang, Lipis sangat teruja dengan bunyi deruan air sungai yang sungguh menenangkan.
“Saya dengan 17 orang kawan lain datang ke sungai ini untuk menyejukkan badan setelah mendaki Bukit Tabung berdekatan dengan sungai ini dan boleh menyaksikan pemandangan 360 darjah dan dapat melihat Kampung Damak, Kampung Batu Balai dan Kampung Perluk.
“Saya mengetahui sungai dan Bukit Tabung melalui facebook dan rakan-rakan yang pernah datang ke sini, air sungai sangat sejuk dan hanya tidak dapat menjelajah sepanjang sungai ini kerana ada kawasan sungai yang terletak di dalam kawasan hutan simpan,” katanya.
Seorang pengunjung dari bandar Jerantut, Azizah Alias berkata, dia sudah mengetahui berkenaan sungai itu tetapi belum kesempatan ke situ.
“Wow, walaupun perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit dari jalan besar untuk sampai ke sungai ini, tetapi amat berbaloi apabila terdengar deruan air sungai yang mengasyikkan.
“Air yang sejuk dan bersih sesuai untuk perkelahan keluarga dan kawasan sungai yang kedalamannya sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa dilengkari dengan susunan batu sebagai ‘empangan’ sebelum aliran sungai itu menuruni jeram,” katanya.
Seorang pengunjung, Siti Norhafizah Baharuddin (32) berkata, kebersihan di kawasan sungai itu juga terjaga, kehadiran pengunjung mungkin sayang dengan persekitaran yang bersih dan tidak mahu mencemarkannya.
“Terdapat kesan tempat pembakaran sampah di tebing yang jauh dari sungai, baguslah kalau semua peka dengan kebersihan kerana alam dan sungai adalah sahabat kita,”katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Koi, Razali Isa berkata, di lata Sungai Rengat, sedang membangunkan bangunan untuk kemudahan pengunjung.
“Selain itu, terdapat tapak perlumbaan “motorcross”, tetapi oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semuanya terhenti, Insya Allah selepas kebenaran rentas negeri dibolehkan, semua program akan berjalan semula,” katanya.-SAHIH.