Derma darah 65 kali demi membantu kepada yang memerlukan
Derma darah 65 kali demi membantu kepada yang memerlukan
LIPIS – Ketua Kampung Bukit Betong, Badra Isa Ab. Hamid, 56, sudah menjadi rutin kehidupannya setiap kali melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan dengan mendema darah untuk simpanan tabung darah di Hospital Lipis di sini.
Tujuan menderma darah adalah untuk membantu insan yang menderita sakit sekurang-kurangnya memberikan bantuan darah.
Katanya, dia mula aktif menderma darah bermula sejak 1 Januari 1999 pada ketika itu bergiat sebagai ketua belia di kampung tersebut dan sehingga ini sudah 65 kali menderma darah..
“Ketika pasukan unit tabung darah Hospital Lipis sampai ke kampung ini, sebagai ketua belia waktu berkenaan, sayalah pertama kali memberanikan menawarkan diri menderma darah untuk menunjukkan teladan kepada ahli belia lain.
“Sebelum 1999, saya tidak pernah menderma darah malahan berasa bimbang apabila mendengar pelbagai andaian mengenai kesan negatif selepas aktiviti ini,” katanya selepas program menderma darah di Kampung Bukit Betong, Jelai dekat sini hari ini.
Menurut Badra Isa, selepas menderma darah, dia berasa badannya segar dan ringan serta tidak pula berlaku komplikasi atau kesan gangguan kesihatan seperti yang diandaikan sebelum ini.
“Bermula 1 Januari 1999, menderma darah sudah menjadi rutin kehidupan saya. Setiap kali program ini diadakan di Lipis, saya akan hadir untuk menderma darah.
“Setiap tahun saya akan menderma darah tiga atau empat kali atau tiga bulan sekali yang mengambil masa cuma kira-kira 10 minit sahaja untuk mengisi (darah) dalam beg (darah),” katanya.
Dia berkata, minatnya juga sudah diikuti oleh empat orang anaknya yang sudahpun menderma darah antara lima hingga 10 kali, tetapi isterinya tidak dapat berbuat demikian kerana mengalami penyakit darah tinggi.
“Hasrat saya untuk menderma darah sehingga ke usia 60 tahun dan mencapai 80 kali. Hal ini bergantung kepada atas nasihat pegawai perubatan,” katanya.-SAHIH.