Derita penyakit kronik, bapa tiga anak rayu bantuan teruskan hidup
Foto: Mohd Fadtri Abdullah dan isterinya.
Derita penyakit kronik, bapa tiga anak rayu bantuan teruskan hidup
JERANTUT – Seorang lelaki, Mohd Fadtri Abdullah, 48, kini berdepan masalah kesihatan kronik yang semakin serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk bekerja seperti biasa.
Beliau menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh sejak 2018 dan perlu menjalani rawatan berterusan serta bergantung kepada ubat sepanjang hayat.
Antara komplikasi dialami termasuk sakit perut tahap serius, perut dan kaki membengkak, mudah letih, lemah serta gangguan penglihatan.
Menurutnya, keadaan kesihatan itu menyebabkan beliau hanya mampu bekerja secara sambilan dengan pendapatan sekitar RM50 sehari, bergantung kepada peluang kerja yang ada.
“Sepanjang tahun lalu saya beberapa kali dimasukkan ke wad, dan masih perlu menjalani rawatan susulan termasuk pada Januari tahun ini,” katanya.
Beliau turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan dan keperluan harian keluarga.
Isterinya pula bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sekitar RM50 sehari, namun tidak dapat bekerja sepanjang bulan Ramadan.
“Bila masuk bulan puasa, isteri saya tidak bekerja, jadi kami benar-benar terhimpit. Anggaran keperluan bulanan sekitar RM2,500.
“Saya perlu menanggung tiga anak termasuk dua yang masih bersekolah berusia lapan dan 15 tahun serta seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia 13 tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB (7035830153 – Mohd Fadtri Abdullah) atau menghubunginya di talian 019-9531541.-SAHIH.
