DEPOH PELUPUSAN DBKL MUSNAH TERBAKAR
DEPOH PELUPUSAN DBKL MUSNAH TERBAKAR
KUALA LUMPUR: Depoh pelupusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Sungai Besi, di sini, musnah dalam kebakaran, malam ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 malam.
Susulan itu, katanya, 45 anggota menaiki lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, BBP Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sentul serta BBP Wangsa Maju, selain lima jentera DBKL dikerahkan ke lokasi kejadian, lapor BH Online.
“Depoh pelupusan itu terbakar 80 peratus manakala kebakaran berjaya dikawal dan dipadam masing-masing jam 10.50 malam serta 11.09 malam,” katanya.
“Sejurus tiba di lokasi terbabit, anggota bomba mendapati kebakaran kawasan longgokan barangan lama simpanan DBKL.
“Teknik padam kebakaran dilakukan secara agresif dan berhati-hati oleh anggota untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.