DEMONSTRASI TERCETUS DI PUSAT VAKSIN
DEMONSTRASI TERCETUS DI PUSAT VAKSIN
LOS ANGELES: Penunjuk perasaan mencetus gangguan di pusat pengagihan vaksin COVID-19 di Stadium Dodger di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), lapor media tempatan, semalam.
Muat naik di media sosial menunjukkan berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang membawa sepanduk menggesa perintah berkurung ditamatkan dan menyuarakan teori konspirasi antivaksin, berhimpun di hadapan pintu masuk ke pusat pengagihan itu, lapor AFP.
“Penunjuk perasaan hanya sekitar 30 orang. Tidak pasti kenapa mereka menutup seluruh fasiliti itu,” kata seorang pengguna Twitter, Mikel Jollet.
Media AS yang memetik jabatan bomba melaporkan, pihak berkuasa menutup pusat agihan itu hampir sejam, namun polis Los Angeles kemudian menegaskan pusat itu tidak ditutup dan vaksin akan terus diagihkan.
GAMBAR IHSAN AFP
Insiden itu menjadi antara cabaran terbaharu pengagihan vaksin di AS, yang merekodkan jumlah jangkitan dan kematian COVID-19 tertinggi di dunia.
Lebih 26 juta individu dijangkiti wabak itu, manakala 439,000 meninggal dunia di AS sejak permulaan COVID-19, berdasarkan kiraan Johns Hopkins University setakat semalam.