Delegasi Republic of Congo bincang potensi import produk koperasi Malaysia
Delegasi Republic of Congo bincang potensi import produk koperasi Malaysia
SELANGOR – Timbalan Jawatankuasa Pelapor Kebangsaan Republic of Congo, Hon. Mr. Lingo Ngbandani Prince Ibrahim, mengetuai delegasi negaranya dalam satu kunjungan hormat ke ibu pejabat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di sini, hari ini.
Delegasi tersebut disambut mesra oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama barisan pengurusan tertinggi badan koperasi itu dalam suasana penuh mesra dan muhibah.
Kunjungan itu bertujuan membincangkan potensi pengimportan produk koperasi Malaysia ke pasaran Republic of Congo sebagai satu langkah memperkukuh hubungan ekonomi dua hala melalui platform koperasi.
Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, usaha tersebut merupakan strategi berkesan dalam membantu menstabilkan harga barang di Republic of Congo yang kini terjejas akibat tekanan inflasi dengan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dalam rantaian bekalan.
“Melalui kerjasama ini, koperasi tempatan dapat memanfaatkan peluang eksport dan memperluas pasaran ke peringkat antarabangsa. Ia juga mampu memperkukuhkan pembangunan sektor koperasi serta mewujudkan jaringan ekonomi baharu antara kedua-dua negara,” katanya.
Tambah beliau, kunjungan bersejarah ini membuka lembaran baharu dalam hubungan koperasi antarabangsa dan membuktikan bahawa produk koperasi Malaysia mampu bersaing di pasaran global.
Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Wakil Usahawan Indonesia, Ibu Sartika Dewi; Ketua Pegawai Kewangan ANGKASA, Encik Mohd Ismail Ibrahim; serta Pengurus Besar Bahagian Perdagangan Komersial ANGKASA, Haji Wan Mohd Azeelan Haji Adnan.
Kunjungan itu diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan cadangan untuk memperinci pelan tindakan kerjasama strategik antara ANGKASA dan wakil koperasi Republic of Congo dalam masa terdekat.-SAHIH