ADUN PADANG TENGKU HEBAT DI DAPUR
HANDAL MEMASAK KUIH, MASAKAN TRADISIONAL PAHANG
KUALA LIPIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long kini popular di kalangan kaum wanita di daerah Lipis, apabila beliau menunjukkan kehandalan memasak kuih dan makanan tradisional daerah itu dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini.
Datuk Mustapa tidak menyangka banyak mendapat jemputan daripada pertubuhan wanita yang ingin belajar daripadanya cara membuat dodol kukus gula kabung, air asam ikan tawar dan pencuk terung yang merupakan makanan tradisional di daerah berkenaan.
DATUK Mustapa Long (dua dari kiri) menunjukkan kemahiran menyediakan kuih tradisional Pahang
“Tidak sangka sungguh, ramai pula yang ingin belajar daripada saya cara membuat kuih dan juadah berkenaan, sehingga saya rasa macam chef terkenal pula apabila banyak jemputan daripada kumpulan wanita meminta saya membuat demonstrasi dan mengajar mereka membuat kuih tradisional, ” katanya.
Menurutnya, semua itu bermula ketika PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu apabila beliau ingin mengajak orang ramai duduk di rumah dengan melakukan aktiviti berfaedah seperti membantu isteri di dapur, kerana kaum isteri juga ingin merasa air tangan suami sekaligus mengeratkan hubungan suami isteri dan keluarga.
Katanya sebagai wakil rakyat, beliau mesti menunjukkan teladan kepada masyarakat cara mengisi masa lapang berfaedah dengan mengasah semula bakatnya yang terpendam iaitu menyediakan pelbagai jenis kuih dan masakan kampung dengan memaparkannya dalam bentuk video di laman Facebook.
“Saya hanya mahir membuat kuih dan masakan orang dulu-dulu sahaja, tetapi kuih dan masakan moden saya tidak pandai.
“Tiada rahsia apa pun. Sebenar saya belajar daripada arwah emak sejak di sekolah rendah lagi kerana saya sering membantu emak membuat kuih tradisi kerana dia seorang penjual kuih tradisional Pahang di pekan sehari Padang Tengku iaitu di tapak Sekolah Menengah Agama Padang Tengku sekarang ini,” katanya
Beliau turut mahir membuat kuih onde-onde gula kabung, batang buruk versi Lipis, kuih koci, kuih dokoh (lepat liat), penganan talam dan serabai golong.