Datuk Leong Kim Soon Sertai Bersatu, Tolak DAP yang ‘Ekstrem’
Datuk Leong Kim Soon Sertai Bersatu, Tolak DAP yang ‘Ekstrem’
BENTONG– Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Leong Kim Soon, menegaskan bahawa parti itu adalah platform terbaik untuk semua kaum di Malaysia bersatu dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
Beliau, yang sebelum ini merupakan Setiausaha Agung Pemuda MCA Kebangsaan dan Ketua Pemuda MCA Pahang, berkata keputusannya menyertai Bersatu dibuat selepas menilai hala tuju politik negara.
“Saya melihat Malaysia boleh menjadi negara yang bersatu, di mana kaum Cina, India dan semua kaum lain juga diberi peluang untuk menyertai Bersatu. Ini selaras dengan masyarakat Malaysia yang semakin maju,” katanya ketika menghadiri Majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Cherengin Hill, Janda Baik, di sini.
Turut hadir sama Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan
Menurutnya, Bersatu adalah parti yang selari dengan perjuangannya, berbanding DAP yang disifatkannya sebagai lebih ekstrem.
“Kalau tidak sesuai dengan jiwa saya, saya takkan masuk. Ada ramai orang bertanya kenapa saya tidak menyertai DAP. Sejauh pengalaman saya dalam politik, saya memang tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Leong berkata beliau tidak bersetuju dengan konsep kerajaan perpaduan yang menyaksikan MCA dan DAP berada dalam satu gabungan.
“Dulu, semasa saya dalam MCA pun, saya tidak boleh bekerjasama dengan DAP. Sekarang, mereka berada di bawah satu payung yang sama. Itu yang saya rasa tidak kena,” jelasnya.
Dalam majlis itu, lebih daripada 113 ahli baharu telah menyertai Bersatu di bawah kepimpinan Datuk Leong.
Beliau turut menggesa lebih ramai masyarakat Cina dan India, khususnya di Bentong dan seluruh Pahang, untuk menyertai parti tersebut.
“Bukan sahaja di Bentong, malah di seluruh Pahang, kita mengalu-alukan penyertaan semua kaum. Ini bukan kumpulan pertama, akan ada lebih ramai yang menyusul,” katanya.-SAHIH