DATUK BANDAR POTONG GILIRAN VAKSIN
DATUK BANDAR POTONG GILIRAN VAKSIN
ROME: Seorang Datuk Bandar di wilayah Sicily, Itali meletak jawatan selepas dituduh memotong giliran untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
“Saya menghabiskan sepanjang malam tanpa tidur untuk memikirkan keputusan ini dan saya mengambil pendirian, inilah yang terbaik bagi saya untuk mengundurkan diri,” kata Nicolo Nicolosi, 78, kepada agensi berita Ansa.
Nicolosi, Datuk Bandar Corleone, sebuah bandar kecil di Palermo, menjelaskan perlu mengundur diri biarpun sudah membuat pilihan tepat untuk mendapatkan vaksin bagi dirinya dan ahli majlis yang lain.
Pada Sabtu, laporan media menjelaskan polis sedang menyiasat Datuk Bandar dan kakitangan pentadbiran perbandaran lain dan sudah merujuk kes itu kepada pendakwa tempatan.
Laman Facebook The City of Corleon mengesahkan bahawa Nicolosi mendapat dua dos vaksin pada Januari lalu.
Itali memulakan kempen vaksinasi pada akhir Disember lalu, dengan dos pertama diberi kepada pekerja kesihatan dan warga emas berusia lebih 80 tahun.
Seperti di seluruh Eropah, kekurangan bekalan menyebabkan kelewatan program vaksinasi.
Nicolosi berpendapat ahli politik tempatan sepertinya memerlukan perlindungan segera terhadap virus itu, kerana pekerja barisan hadapan perlu memberi khidmat kepada masyarakat setempat, lapor AFP.
“Vaksinasi adalah langkah kesedaran yang dibuat untuk mencegah kemungkinan adanya kontak dengan virus yang mungkin memaksanya untuk mengundur diri ,” menurut akaun Facebook itu.
Seorang senator dari Five-Star Movement dan ketua jawatankuasa dewan tertinggi antimafia, Nicola Morra, mengatakan Nicolosi bukan satu-satunya ahli politik tempatan yang menyalahgunakan sistem itu.
“Malangnya kita mendengar beberapa situasi di mana aturan undang-undang dipermainkan,” tulis Morra di Facebook, turut mendesak individu lain yang mengambil tindakan sama supaya mengundur diri.
Itali setakat ini sudah menyuntik 5.3 juta dos vaksin yang diberi kepada 1.6 juta orang, berbanding 60 juta penduduknya, menurut data Kementerian Kesihatan semalam.
Perdana Menteri, Mario Draghi, yang baharu dilantik bulan lalu, meletakkan keutamaan untuk mempercepat pemberian vaksin, bagi mengekang penularan pandemik yang sudah mengorbankan hampir 100,000 orang di Itali.