Dato’ Sri Vijayendren terajui MyBHA Pahang, janji pacu industri pelancongan seluruh negeri
Dato’ Sri Vijayendren terajui MyBHA Pahang, janji pacu industri pelancongan seluruh negeri
KUANTAN – Setinggi-tinggi tahniah! Itu ucapan penuh penghargaan daripada Tourism Pahang kepada Dato’ Sri K. Vijayendren atas pelantikannya sebagai Pengerusi Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Cawangan Pahang yang baharu.
Pelantikan tersebut diumumkan secara rasmi baru-baru ini dan disambut baik oleh pelbagai pihak dalam industri pelancongan negeri, yang melihatnya sebagai langkah positif ke arah memperkasakan sektor perhotelan dan pelancongan domestik.
Dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook Tourism Pahang, seluruh warga agensi pelancongan itu menyampaikan ucapan tahniah kepada tokoh berpengalaman itu dan menyatakan keyakinan tinggi terhadap keupayaan beliau dalam memimpin MyBHA Pahang ke arah lebih cemerlang.
“Semoga amanah yang diberikan ini dapat dilaksanakan dengan cemerlang demi kemajuan dan kesejahteraan industri pelancongan di Negeri Pahang,” kata kenyataan itu.
Dato’ Sri Vijayendren ketika dihubungi turut meluahkan kesungguhan beliau dalam menerajui MyBHA Pahang dan berikrar akan memperluaskan usaha promosi pelancongan ke seluruh negeri, bukan hanya tertumpu kepada destinasi popular seperti Kuantan, Genting Highlands dan Cameron Highlands.
“Kami dari MyBHA Pahang ingin menarik pelancong bukan saja ke Kuantan, Genting Highlands dan Cameron Highlands, malah ke semua daerah di seluruh negeri Pahang. Setiap daerah ada keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan,” katanya.
MyBHA merupakan badan yang mewakili kepentingan pengusaha hotel bajet dan bisnes seluruh negara.
Dengan kepimpinan baharu ini, sektor perhotelan bajet di Pahang dijangka mampu memberi sumbangan lebih besar kepada ekonomi negeri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.