Dari Bilik Darjah ke Podium Orkestra: Legasi Gemilang Mokhzani di RTM
Dari Bilik Darjah ke Podium Orkestra: Legasi Gemilang Mokhzani di RTM
Anak kampung yang membesar di celah kehijauan sawah padi di Kampung Alor Lanchang, Jejawi, Perlis itu tidak pernah menyangka takdir hidupnya akan membawanya berdiri megah di hadapan ratusan pemuzik profesional.

Dilahirkan pada 22 Februari 1962, Datuk Mokhzani Ismail memulakan perjalanan sebagai seorang guru sebelum namanya terpahat sebagai antara konduktor paling berpengaruh dalam sejarah Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Perjalanannya bermula apabila beliau melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas, kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas di Cheras.
Selepas menabur bakti sebagai guru di kampung halaman, minat dan bakat mendalam terhadap muzik mendorongnya terbang ke Amerika Syarikat untuk memperkasa ilmu dalam bidang tersebut.

Buah tangan terakhir Mokhzani untuk siaran Hari Raya 2026 dengan memimpin 40 anggota pemuzik untuk konsert Siti Nurhaliza.
Tahun demi tahun berlalu, dan pada usia 36 tahun, Mokhzani dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM -satu tanggungjawab besar yang meletakkan beliau sebaris dengan tokoh terdahulu seperti Alfonso Soliano dan Johari Salleh.
Pelantikan itu bukan sekadar pengiktirafan, tetapi amanah untuk memastikan Orkestra RTM terus unggul sebagai nadi muzik penyiaran negara.
Sepanjang 35 tahun bersama RTM, termasuk 25 tahun sebagai Pengarah Muzik, beliau mencorakkan pelbagai pembaharuan.
Di bawah kepimpinannya, program Bintang RTM menjadi medan melahirkan artis tersohor seperti Ernie Zakri, Misha Omar dan Alyah.
Beliau turut mengemudi konsert berprestij termasuk Konsert Simfoni Putrajaya pada 2006 yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai konsert simfoni terbesar secara langsung di negara ini. Sentuhan antarabangsa pula terserlah menerusi penyertaan RTM Big Band di Java Jazz Festival serta kolaborasi bersama stesen serantau.
Satu lagi detik bersejarah ialah apabila beliau diberi penghormatan menjadi konduktor kepada Malaysian Philharmonic Orchestra bagi konsert pemain trompet tersohor dunia, Chris Botti di Dewan Filharmonik Petronas pada 2011.
Dalam bidang lagu patriotik, Mokhzani memainkan peranan penting sebagai Pengerusi Jawatankuasa Lagu Tema Merdeka sejak 1998.
Antara karya besar beliau termasuk “Malaysia Prihatin” nyanyian Ernie Zakri dan “Menang Bersama” oleh Faizal Tahir. Terbaharu, beliau menerbitkan lagu tema ASEAN Summit “Our Land Our Home” nyanyian Aina Abdul serta “Madani Cinta Negara” oleh Stacy.
Pengiktirafan tertinggi diterimanya apabila dianugerahkan Anugerah Seni Negara kategori Seni Muzik pada 2024, selain menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.
Menariknya, walaupun bersara secara rasmi, serentak dengan peletakan jawatan Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Suhaimi Sulaiman, Mokhzani tidak memilih untuk berehat sepenuhnya. Beliau kini aktif sebagai pemain piano jazz dan dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaya.
Daripada seorang guru di desa ke podium konduktor bertaraf antarabangsa, perjalanan Datuk Mokhzani Ismail membuktikan bahawa bakat, disiplin dan kesungguhan mampu mengangkat anak kampung menjadi arkitek legasi muzik negara.
Namanya akan terus dikenang sebagai simbol dedikasi dan kecintaan terhadap seni yang tidak pernah padam. -SAHIH.
