DAP TETAP HERET WAKIL RAKYAT LOMPAT PARTI KE MAHKAMAH
DAP TETAP HERET WAKIL RAKYAT LOMPAT PARTI KE MAHKAMAH
GEORGETOWN – DAP tetap akan mengheret wakil rakyatnya yang melompat parti ke mahkamah walaupun tindakan terbabit tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu tidak berganjak dengan pendiriannya untuk mengambil tindakan terhadap wakil rakyat terbabit.
“Kita akan bawa hal ini sehingga ke peringkat mahkamah walaupun ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya pada sidang media di Wisma DAP di sini pada Isnin.
Guan Eng turut menempelak kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana menyokong tindakan wakil rakyat yang melompat parti.
“Sebagai kerajaan yang bersih dan berprinsip, kerajaan PN tidak sepatutnya mempertahankan atau menyokong tindakan melompat parti.
“Kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan juga tidak wajar. Dalam Islam pun tidak dibenarkan murtad, jadi kenapa pula dalam politik boleh dibenarkan melompat parti?
“Apa yang disebut Takiyuddin itu memang tidak patut dan jelas melanggar prinsip politik yang dipertahankan pemimpin Pas terdahulu,” katanya.
Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata, tindakan wakil rakyat melompat parti tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, katanya, Akta Anti Lompat Parti di Pulau Pinang tersekat kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan terlebih dahulu.
Menurutnya, penggubalan akta berkenaan tertakluk kepada perintah mahkamah yang sebelum ini telah memutuskan sebarang undang-undang berkaitan anti lompat parti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.
Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berhenti menjadi ahli parti diwakili semasa pilihan raya perlu mengosongkan kerusi nya, lapor Sinar Harian.
Di Pulau Pinang, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim, kedua-duanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menarik semula sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk bersama dengan kerajaan PN.
ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim pula tidak lagi menjadi wakil rakyat PH apabila dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).