DAP Jangan Jadi Api Dalam Sekam – Jasri
DAP Jangan Jadi Api Dalam Sekam – Jasri
KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kuala Sentul, YB Dato’ Haji Jasri Jamaludin menegaskan bahawa dakwaan Ahli Parlimen Raub, YB Chow Yu Hui kononnya kerajaan negeri Pahang melanggar perintah mahkamah dalam operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Raub adalah tidak berasas dan bermotifkan politik semata-mata.
Beliau menyifatkan kenyataan wakil DAP itu sebagai cubaan mengelirukan rakyat dan memperlekehkan sistem perundangan negara.
“Ini satu lagi episod hipokrasi politik DAP yang semakin terserlah – berpura-pura membela rakyat, tetapi dalam diam merosakkan kewibawaan pentadbiran dan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Jasri, tiada pelanggaran perintah mahkamah berlaku memandangkan Mahkamah Tinggi Kuantan telah menolak permohonan semakan kehakiman oleh pihak peneroka tanah berkenaan. Malah,
Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan penangguhan operasi kerana prosedurnya tidak mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau menegaskan bahawa tanah yang diteroka secara haram adalah milik sah kerajaan negeri dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan adalah sejajar dengan Kanun Tanah Negara 1965 serta Akta Perhutanan Negara 1984.
“Ini bukan soal menindas rakyat, sebaliknya mempertahankan hak rakyat dan memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang,” ujarnya lagi.
Jasri turut membidas sikap DAP yang menurutnya “talam dua muka” apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, namun bersikap seperti pembangkang apabila berada di negeri.
“Jika DAP benar-benar tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri, maka mereka sepatutnya keluar dari kerajaan, bukan menabur persepsi demi kepentingan politik sempit,” tegas beliau.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru semua pihak agar menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak tunduk kepada tekanan politik berasaskan sentimen semata-mata.-SAHIH