DAP hadapi masalah jika bertanding di Lipis
DAP hadapi masalah jika bertanding di Lipis
LIPIS – DAP bakal hadapi masalah jika bertanding di kerusi Parlimen Lipis (P79) dan tiga Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Lipis dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang akan diadakan.
Ketua Umno Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, desas-desus DAP akan bertanding mula tular sepanjang minggu lepas.
Katanya, sejak empat kali Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 hingga PRU-14 belum pernah lagi DAP menjejakkan kaki bertanding di Lipis dan dianggap sebagai pelik kerana mengikut sejarah belum pernah DAP bertanding sejak tahun 1986.
“Pada 1986, DAP bertanding di sini (Parlimen Lipis), DAP meletakkan calonnya Woo Chee Wan yang mendapat undi 3,773 (16.85%) dan kerusi itu dimenangi oleh Wang Choon Wing (BN) dengan mendapat undi 13,533 (60.45%).
“Sejak itu DAP tidak meletakkan calonnya bertanding di sini, walaupun di kerusi DUN,” katanya di Majlis Santuni Pemimpin Institusi Felcra Berhad, Wilayah Pahang Bersama Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan luar Bandar (KPLB) di Kuala Lanar, semalam.
Katanya, namun, pengundi di Kawasan Parlimen Lipis, dan tiga DUN (Padang Tengku, Cheka dan Benta) perlu berwaspada dengan kehadiran parti ini yang bakal meletakkan calonnya di empat kerusi di sini.
“Saya sedia maklum, pengundi di Lipis bijak siapa yang bakal mereka pilih, dan mereka tahu apa yang telah mereka (DAP/ Pakatan Harapan) buat selama 22 bulan mentadbir negara.
“Kehadiran DAP untuk bertanding di Lipis dianggap satu fenomena dalam landskap politik baharu di sini, sebagai penyandang di kerusi Parlimen Lipis saya tahu pengundi dan penyokong Barisan Nasional pasti mahukan BN terus mentadbir,” katanya.
Katanya, pengundi dan penyokong BN sudah masak dengan permainan politik pembangkang yang hanya sekadar mahu mengambil hati pengundi tapi realitinya gagal melakukan sesuatu untuk kebajikan rakyat setempat.-SAHIH.