“Dalam setandan pisang pasti ada yang rosak” – CUEPACS
“Dalam setandan pisang pasti ada yang rosak” – CUEPACS
PUTRAJAYA- Persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam tidak boleh dijadikan gambaran terhadap keseluruhan 1.7 juta warga sektor itu yang setiap hari bekerja keras memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik.
Demikian tegas Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam reaksinya terhadap isu defisit integriti dan persepsi negatif yang didepani sektor awam.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata penilaian terhadap perkhidmatan awam perlu dilihat dalam kerangka ekosistem lebih menyeluruh bagi mengenal pasti punca, cabaran dan penyelesaian komprehensif.
Beliau menegaskan, majoriti penjawat awam adalah barisan individu yang berintegriti, berdedikasi dan komited dalam menyampaikan amanah kepada rakyat, selain turut menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, tangkas dan berdaya saing.
“Tidak dinafikan, seperti perumpamaan ‘dalam setandan pisang pasti ada yang rosak’ – ada segelintir kes yang perlu diperbaiki atau dibuang.
“Namun setandan itu tetap produktif dan memberi manfaat kepada semua. Justeru, persepsi negatif tidak boleh dijadikan gambaran keseluruhan terhadap 1.7 juta penjawat awam negara,” katanya kepada BH.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, sebelum ini dilapor berkata perkhidmatan awam kini berdepan defisit integriti dan persepsi negatif walaupun tindakan pengesanan dan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin agresif.
Beliau berkata, aspek itu antara tiga cabaran kompleks dihadapi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selain selain geseran institusi dan kerenah birokrasi, serta jurang keupayaan masa depan dan pendigitalan, dalam usaha mereformasi sektor perkhidmatan awam di Malaysia yang menuntut komitmen tinggi penjawat awam dan sokongan menyeluruh kerajaan.
Tambah Adnan, kenyataan KPPA itu harus dijadikan cabaran positif untuk meningkatkan keyakinan pemegang taruh, selain memperkukuh pembudayaan nilai amanah dan integriti di semua peringkat perkhidmatan awam.
Katanya, peningkatan integriti dan pembudayaan nilai amanah perlu dijadikan usaha berterusan di semua peringkat.
“Dalam konteks ini, gerak kerja perubahan tidak boleh disandarkan kepada SPRM atau satu-satu agensi semata-mata, sebaliknya ia memerlukan kerjasama pelbagai agensi, warganya serta platform di setiap peringkat bagi memastikan perubahan total dapat diterapkan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam.
“Hanya melalui pendekatan menyeluruh ini, kita dapat melahirkan perkhidmatan awam yang lebih tangkas, tuntas dan berwibawa,” katanya.
Beliau berkata, CUEPACS menyokong inisiatif reformasi kerajaan termasuk Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan, Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE), serta Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) sebagai asas kepada pembudayaan integriti dan peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Justeru, islah atau ‘reform’ perlu disebar luas dan dibudayakan sebagai amalan positif dalam perkhidmatan awam supaya ia terus subur, memberi manfaat kepada kerajaan, rakyat dan negara.
“CUEPACS menegaskan komitmen untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam memperkukuhkan integriti, meningkatkan profesionalisme dan memastikan kebajikan serta maruah penjawat awam terus terpelihara,” katanya.
Sumber : Berita Harian
