DAKWA DIAIBKAN, GURU BESAR SAMAN BEKAS YDP PIBG RM500,000
DAKWA DIAIBKAN, GURU BESAR SAMAN BEKAS YDP PIBG RM500,000
TUMPAT: Seorang guru besar di sebuah sekolah rendah di Tumpat, Kelantan, memfailkan saman RM500,000 terhadap bekas Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya.
Suzana Adzmin@Azmin, 48, selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap defendan, Abd Rahim Hussin, 56, melalui Tetuan Alias Ibrahim & Co pada 13 November lalu.
Katanya, tindakan itu diambil selepas mendapat maklumat defendan dipercayai merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam urusan menaikkan tiga kain rentang berbaur fitnah terhadapnya di dalam kawasan sebuah kampung di Wakaf Bharu pada 25 Jun, 3 Julai dan 22 Ogos lalu.
Tulisan pada kain rentang itu didakwa menyatakan bahawa dia merupakan guru besar yang menghasut orang, pilih kasih, memutar belit fakta, menyalah guna wang sekolah selain menggesa agar dia ditukarkan ke sekolah lain
“Semua dakwaan itu tidak benar apabila pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menjalankan siasatan kewangan dan integriti di sekolah sebelum mendapati saya tidak terlibat dalam sebarang kes salah guna kuasa.
“Saya juga pernah menegur ahli jawatan kuasa PIBG mengenai hal ehwal pengurusan persatuan itu dalam mesyuarat sebelum ini. Mungkin itu menjadi punca YDP PIBG menaikkan kain rentang berbaur fitnah yang ditujukan kepada saya,” katanya pada sidang media di Tetuan Alias Ibrahim & Co di Kota Bharu, hari ini.
Lebih mendera emosi dakwanya apabila ‘direhatkan’ di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat selama 86 hari tanpa berbuat apa-apa sepanjang tempoh itu sehingga tidak dapat melaksanakan tugasnya di sekolah seperti biasa.
Suzana berkata, keadaan itu menyebabkan dia malu untuk berdepan dengan masyarakat malah ada dalam kalangan rakan-rakannya melarikan diri selepas mempercayai fitnah yang disampaikan menerusi kain rentang tersebut.
“Kejadian itu juga menyebabkan emosi saya tidak stabil malah pakar psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian mengesahkan saya mengalami tekanan emosi melampau.
“Selepas kejadian itu, saya telah mendapat arahan untuk ditukarkan ke sebuah sekolah di daerah sama dan akan memulakan semula tugas pada Ahad ini. Keadaan itu amat mengelirukan apabila saya sendiri masih belum sempat menabur bakti di sekolah lama akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) berterusan pada tahun ini, namun ditukarkan ke sekolah lain,” katanya.
Sehubungan itu tambahnya, saman RM500,000 difailkan terhadap defendan bertujuan untuk membersihkan namanya, ganti rugi teladan dan segala kesan buruk yang dialaminya akibat sebaran fitnah serta memberi pengajaran.
Sementara itu, peguam Alias Ibrahim berkata, dia percaya anak guamnya mempunyai bukti yang mencukupi untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.
Katanya, kes yang dialami anak guamnya boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat apabila seorang guru berada dalam keadaan teraniaya dalam aspek emosi, kerjaya dan sosial.
SUMBER: Malaysiankini.