CSR Tabung Haji pilih baikpulih masjid
Foto atas : Mustakim dan Mohd Norber Kassim (tengah) bergambar bersama-sama warga emas, kakitangan TH serta sukarelawan TH pada pada Program 60 Tahun TH CSR On Wheels di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 18 Mac 2023.
CSR Tabung Haji pilih baikpulih masjid
Lembaga Tabung Haji (TH) akan memilih sebuah masjid setiap negeri untuk terbabit dalam kerja baik pulih yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat tahun 2023 ini, selaras dengan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
CSR ini bertepatan dengan program Zakat Wakalah TH untuk membaiki masjid, rumah fakir miskin, asnaf, anak yatim serta membantu usahawan kecil supaya maju dalam perniagaan serta mampu bersaing.
Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH, Mustakim Mohamad, berkata bagaimanapun jika ada permintaan atau permohonan daripada mereka yang memerlukan, TH sedia membantu.
“Langkah itu wajar dilakukan kerana TH mahu memastikan mereka yang dibantu atau diberi sokongan amat memerlukan pembelaan dan bantuan yang disalurkan dimanfaatkan sebaik mungkin serta tidak disalahgunakan.
“Melalui program ini TH berharap dapat mendekati masyarakat dengan lebih berkesan terutama bagi menyampaikan maklumat yang tepat dan bukan setakat mengenai menunaikan ibadat haji juga perkara lain seperti simpanan wang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Program 60 Tahun TH CSR On Wheels di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 18 Mac lalu.
Turut hadir pada program itu Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman; isteri beliau Datin Seri Junaida Ahmad; Pegawai Menanggung Kerja Ketua Modal Insan TH, Mohd Norber Kassim; Ketua Pegawai Kumpulan Medic Iman (KMI), Jamilah Ibrahim; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado; sukarelawan TH; dan rakan strategik TH.
Katanya, pada program itu kakitangan TH dengan dibantu oleh sukarelawan menyediakan dan memasak sendiri sarapan dan makan tengah hari untuk warga emas juga tetamu yang hadir.
Mustakim berkata, dalam program pernah diadakan sebelum ini, TH mendapati pengurusan PJMM menunjukkan pentadbiran yang baik serta terurus dalam menjaga, mengurus serta menyantuni warga emas dengan sempurna.
“Pemilihan PJMM untuk program berkenaan amat tepat dan menarik minat kami TH untuk datang membuat CSR apabila melihat banyak perubahan yang dilakukan demi keselesaan, keceriaan dan kesejahteraan warga emas meneruskan kelangsungan hidup.
“Semoga program CSR TH ini mampu menjadi contoh terbaik kepada pelbagai pihak lain untuk hadir membantu dan meringankan bebanan pengurusan PJMM yang komited dan bertanggungjawab menjaga warga emas,”katanya.-SAHIH.