TAK TULIS NAMA KUNJUNGI PREMIS
COVID-19: ADA TAK TULIS NAMA KETIKA KUNJUNGI PREMIS
JERANTUT : Terdapat segelintir pelanggan tidak jujur apabila tidak mencatat nama dan nombor telefon dalam buku yang disediakan pihak pengurusan premis mereka kunjungi dan sikap ini bakal menyukarkan pihak berkuasa mengesan mereka jika berlaku gejala wabak di premis terbabit.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut akan melaksanakan Operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) mulai 8 Oktober jam 1.00 pagi sehingga 5.00 pagi di lokasi Kampung Temin, Jalan Temerloh Jerantut bagi membantu memutuskan rantaian wabak yang semakin membimbangkan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, selain tidak jujur, terdapat segelintir orang ramai tidak menulis butiran diri dan nombor telefon di buku kehadiran, malah ada yang mula leka dengan penjarakan fizikal.
“Walau begitu, kebanyakan premis yang diperiksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) COVID-19 yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Penjarakan fizikal dalam kalangan pelajar di sekolah juga terkawal, namun pemantauan berkala akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Pemantauan Pematuhan SOP PKPP Peringkat Daerah Jerantut bersama agensi penguatkuasa, termasuk dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP, polis juga akan sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah melalui Pegawai Penjaga Sekolah dan pegawai penjaga masjid setiap hari untuk memastikan SOP ini dipatuhi.
“Di samping itu penglibatan pegawai KPDNHEP dalam memeriksa alat timbang dan sukat serta bekalan makanan di daerah ini mendapati semua (bekalan) mencukupi.
“Jawatankuasa Bencana Daerah juga sudah mengeluarkan arahan kepada semua lapisan masyarakat agar terus mematuhi SOP untuk mengekang penularan wabak ini,” katanya.