Corak kempen berhemah lebih diterima pengundi
Corak kempen berhemah lebih diterima pengundi
BENTONG- Tempoh kempen PRK Pelangai akan berakhir beberapa jam lagi.
Dan esok seramai 16,456 pengundi akan membuat keputusan bagi memilih wakil rakyat baru.
Bagi calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, tempoh 14 hari lalu memberi pengalaman sangat menarik untuk dirinya.
Ini kali kedua Amizar bertanding, dengan kali pertama di kerusi DUN Ketari pada PRU15, November tahun lalu.
“Secara umumnya, saya puas hati kerana dapat menyantuni seramai mungkin pengundi di Pelangai dalam tempoh dua minggu lalu.
“Jadual disusun walaupun padat, namun ia memberi kepuasan kepada saya kerana memberi peluang untuk saya lebih rapat dengan penduduk di sini.
“Kebanyakan penduduk di sini memang saya kenal kerana saya juga berasal dari FELDA Chemomoi, jadi ia lebih kepada menyegarkan kembali hubungan sedia terjalin dengan mereka,” katanya.
Amizar juga memaklumkan pendekatan berkempen secara berhemah dilakukan jentera BN lebih diterima oleh penduduk di Pelangai.
Katanya, cara berpolitik di Pahang tidak sama dengan negeri lain dan semua pihak sepatutnya faham mengenai perkara itu.
“Kita di Pahang ada cara tersendiri, kita tidak mengamalkan politik fitnah dan menghasut.
“Begitu juga di Pelangai, orang luar datang dan pergi ketika musim kempen dan akhir sekali, kita di Pelangai jugalah yang faham apa yang kita mahu,” katanya.
Beliau berharap seramai mungkin pengundi dapat keluar esok untuk memilih calon terbaik bagi mewakili mereka.
Katanya, dia sudah memberikan yang terbaik sepanjang tempoh 14 hari kempen dan kini terpulang kepada pengundi untuk membuat keputusan.
“Saya cuma ingin melihat Pelangai yang lebih membangun dan makmur selepas ini.
“Dan saya percaya pengundi di Pelangai sudah matang dan bijak dalam membuat pilihan.
“Semoga tempoh 14 hari yang lalu sudah memberi ilham kepada 16,456 pengundi berdaftar di Pelangai untuk membuat keputusan sewajarnya,” katanya. – SAHIH