Cili Fertigasi MADANI Lonjak Pendapatan Koperasi Luar Bandar
Cili Fertigasi MADANI Lonjak Pendapatan Koperasi Luar Bandar
NEGERI SEMBILAN , – Projek tanaman cili secara fertigasi yang diusahakan oleh Koperasi Padang Lebar Kuala Pilah Berhad di Kampung Anak Air Bulan di sini dilihat berpotensi besar melonjakkan pendapatan ahli koperasi serta menjana ekonomi setempat.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, projek tersebut merupakan hasil manfaat daripada geran RM100,000 yang disalurkan melalui program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
“Saya melihat projek ini sebagai satu langkah bijak koperasi dalam memanfaatkan bantuan kerajaan untuk menjana hasil jangka panjang. Ini contoh terbaik bagaimana koperasi luar bandar mampu bangkit melalui pertanian moden,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke tapak projek hari ini.
![]()
Lawatan turut disertai Ahli Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sembilan, Encik Mohd Nazri Rosli bersama kepimpinan koperasi terbabit, Pengerusi Haji Mohd Zubir Haji Zakaria dan Setiausaha, Encik Rahman Haji Bidin.
Menurut Haji Mohd Zubir, projek fertigasi itu bukan sahaja membuka peluang pendapatan kepada anggota, malah menjadi model rujukan koperasi lain.
“Dengan hasil tuaian yang konsisten, kami sedang merancang untuk menambah bilangan polibeg dan meluaskan tapak. Sambutan pasaran juga amat menggalakkan,” ujarnya.
Katanya lagi, koperasi itu juga bakal menjalinkan kerjasama dengan koperasi pengguna dan pemborong bagi meluaskan rangkaian pemasaran cili segar.
Tambah Dr. Abdul Fattah, ANGKASA sentiasa menyokong inisiatif koperasi seperti ini dan akan membantu dari segi latihan, pemasaran serta penjenamaan agar koperasi luar bandar terus berdaya saing dalam pasaran terbuka.-SAHIH
