Cikgu Lan lepaskan kerusi Parlimen Jerantut (P081)
Cikgu Lan lepaskan kerusi Parlimen Jerantut (P081)
JERANTUT- “Sudah sampai masanya saya berundur diri kerana sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Jerantut dan saya rasa inilah masa tepat bagi memberi peluang kepada pemimpin pelapis pula”.
Itulah luahan penyandang kerusi Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, 64, yang dikenali dengan Cikgu Lan tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jerantut (081) dalam PRU – 15 yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.
Beliau berkata keputusan itu diambil bagi memberi peluang kepada muka baharu dalam UMNO sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN).
” UMNO Jerantut tidak ketandusan pemimpin muda dan bertenaga, mereka wajar diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat pula.
“Sampai giliran saya berundur dan kita beri peluang kepada golongan muda yang lebih bertenaga untuk diangkat sebagai calon,” katanya.
Katanya, beliau sudah bertemu dengan. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai hasratnya itu.
“UMNO perlu pemimpin baharu serta anak tempatan yang lebih bertenaga dan mempunyai idea baru untuk membangunkan Jerantut dan jelas UMNO Jerantut tidak kekurangan pemimpin pelapis.
“Saya lihat, ramai calon muda UMNO yang berkelibar dan bersedia untuk dicalonkan bertanding di kerusi parlimen Jerantut untuk meneruskan perkhidmatannya memajukan daerah ini,” katanya.
Katanya, calon baharu yang terpilih nanti perlu bekerja keras dan beliau sedia membantu mereka untuk memenangi PRU15 nanti yang dijangka menerima tentangan hebat dari calon Perikatan Nasional ( PN) dan Pakatan Harapan (PH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Barisan Nasional Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut dilancarkan oleh Ketua Bahagian Jerantut Datuk Nazri Ngah malam tadi.
Ahmad Nazlan yang lebih dikenali dengan ‘ Cikgu Lan’ dikalangan penduduk berharap calon yang dipilih adalah seorang yang bertanggungjawab serta dapat memberi perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.
Katanya, sewajarnya calon baharu adalah anak tempatan yang berkelayakan dan tahu keperluan dan kemahuan penduduk di daerah ini kerana calon luar yang tidak tinggal di Jerantut amat sukar menyelami denyut nadi pengundi dan keperluan mereka.
Menurutnya, kalau sekali sekala pulang menjenguk ‘kampung’ akan menjadi masalah kepada pengundi untuk meluahkan masalah yang ada dan yang perlu ditangani segera.
Ahmad Nazlan memenangi kerusi parlimen pada PRU13 dengan mengalahkan calon Pas, Dr Hamzah Jaafar dengan undi sebanyak 26,544, manakala lawannya cuma mendapat 22,012 undi membolehkan BN memperoleh majoriti 4,532.
Beliau sekali lagi memenangi kerusi Parlimen dalam PRU14 dengan majoriti 5,908 undi apabila memperoleh 22,640 undi mengalahkan calon PAS Yohanis Ahmad (16,732 undi) dan calon PKR, Wan Mohd Shaharir Wan Adul Jalil (10,877 undi).-SAHIH.