CIA RANCANG BUNUH RAUL CASTRO PADA TAHUN 1960
CIA RANCANG BUNUH RAUL CASTRO PADA TAHUN 1960
WASHINGTON: Dokumen sulit membuktikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) pernah lakukan cubaan membunuh pemimpin Cuba pada 1960.
Difahamkan, CIA menawarkan AS$10,000 (RM41,000) kepada seorang juruterbang untuk menerbangkan Raul Castro dari Prague ke Havana dan ‘mengatur’ satu kemalangan.
Juruterbang Jose Raul Martinez, yang direkrut oleh CIA, meminta dan menerima jaminan agensi ia akan menanggung pendidikan kepada kedua anak lelakinya jika dia terkorban dalam operasi itu.
Demikian menurut dokumen yang diterbitkan Institut penyelidikan Arkib Keselamatan Negara AS berpangkalan di Washington.
Selepas Martinez melakukan penerbangan ke Prague, ibu pejabat CIA di Amerika Syarikat memberitahu stesen Havana untuk membatalkan misi berkenaan.
Pada ketika itu, juruterbang sudah tidak dapat dihubungi dan apabila kembali ke Cuba, Martinez memberitahu dia tidak berpeluang untuk mengatur kemalangan seperti yang dirancang.
Plot itu timbul ketika Castro, saudara lelaki pemimpin revolusi mendiang Fidel Castro, bersedia untuk mengundurkan diri daripada politik sebagai ketua Parti Komunis Cuba yang berkuasa.
Ia mengakhiri kekuasaan keluarga itu selama hampir enam dekad di Cuba, bermula pada 1959.
Kekuasaan akan diturunkan kepada Miguel Diaz-Canel, 60, yang berkhidmat sebagai Presiden Cuba sejak 2018.
Penganalisis Arkib Keselamatan Nasional AS, Peter Kornbluh memberitahu AFP bahawa dokumen itu mengingatkan kepada masa lalu yang gelap dalam operasi AS menentang revolusi Cuba.
Fidel Castro menentang 11 presiden AS dan menurut Guinness World Records, terdapat 638 rancangan untuk membunuhnya serta satu yang gagal pada 1961, lapor AFP.
Difahamkan, 1,400 individu anti-Castro yang dilatih dan dibiayai oleh CIA, mendarat di Bay of Pigs pada 1961 dalam usaha untuk menjatuhkan rejim komunis itu.