CHRIS SMALLING BERDEPAN DETIK CEMAS DIACUKAN SENJATA DI DEPAN ISTERI DAN ANAK
CHRIS SMALLING BERDEPAN DETIK CEMAS DIACUKAN SENJATA DI DEPAN ISTERI DAN ANAK
LONDON: Chris Smalling berdepan detik cemas apabila diacukan senjata di depan isteri dan anaknya ketika rumahnya dimasuki tiga perompak bertopeng.
Bekas pertahanan England berusia 31 tahun yang kini beraksi bersama kelab Itali, Roma, sedang tidur apabila perompak bersenjata itu menceroboh rumahnya sebelum dipaksa membuka peti keselamatan.
Smalling, yang bermain bersama Manchester United selama 10 tahun, menyerahkan seutas jam tangan berjenama Rolex dan beberapa barang kemas, lapor dello Sport.
Isterinya, Sam Cooke, 35, menghubungi polis pada jam 5 pagi selepas insiden berkenaan di rumahnya di kawasan Appia Antica, Rome dan laporan berkenaan mendakwa insiden itu berlaku di depan anak kecil pasangan itu yang berusia dua tahun, Leo.
Roma beraksi pada suku akhir kedua Liga Europa semalam, namun Smalling mengalami kecederaan di bahagian buku lali.
Menurut media tempatan, keluarga muda itu ketika ini sangat tertekan dengan kejadian rompakan berkenaan dan pihak polis dilaporkan sedang menyiasat serta memberi dorongan semangat kepada mangsa.
Smalling yang menandatangani kontrak bersama Roma tahun lalu selepas setahun dipinjamkan, pernah meraih dua gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Manchester United.
Pemain itu berkahwin dengan Sam, seorang model pada Jun 2017 dan memperoleh anak pertama, Leo sebelum mereka berpindah ke Itali, lapor Agensi.
Smalling, yang mempunyai 31 kap bersama England berkata, Sam sentiasa memberi sokongan apabila dia berpindah ke Itali.
Januari lalu, rumah pemain tengah Juventus, Weston McKennie turut dirompak ketika dia sedang beraksi menentang SPAL dalam saingan Piala Itali.